Pelupusan aset 1MDB kepada syarikat China membantu mengumpul dana untuk membayar hutang AS$602.7 juta kepada syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) menjelang akhir tahun ini, lapor akhbar Straits Times Singapura.
Laporan yang memetik sumber yang tidak dinamakan itu, berkata 1MDB menjual instrumen kewangan dan kepentingan oleh dua entiti berkaitan 1MDB yang memegang tanah di utara Pulau Pinang dan sekitar Pelabuhan Klang.
"Para pegawai kerajaan Malaysia menolak untuk menamakan pembeli dalam urus niaga hartanah itu tetapi seorang eksekutif kewangan yang rapat dengan isu itu berkata kepentingan ekuiti dalam entiti hartanah 1MDB akhirnya diperolehi oleh syarikat milik negara China.
"Eksekutif itu enggan mengulas lanjut," petik laporan itu.
1MDB mendakwa memperolehi 234 ekar tanah utama di Ayer Itam, Pulau Pinang pada harga RM1.38 bilion pada tahun 2013.
Susulan semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian, kerajaan negeri Pulau Pinang mempertikaikan dakwaan itu.
Di Selangor, 1MDB memperolehi sebidang tanah seluas 310 hektar berhampiran Pulau Indah berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang pada tahun 2014.
Sebelum ini, 1MDB telah dikatakan mempunyai rancangan besar untuk membangunkan kedua-dua bidang tanah itu tetapi rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila syarikat berdepan masalah aliran tunai besar-besaran.
Kepentingan China dalam aset 1MDB tidak mengejutkan. Setakat tahun lalu, Financial Times melaporkan bahawa China dan Malaysia sedang berbincang untuk menyelamatkan 1MDB.
China sudah pun mempunyai kepentingan besar dalam aset berkaitan dengan 1MDB menerusi Edra Global Energy dan sedang meninjau projek lain milik 1MDB, termasuk Bandar Malaysia.
1MDB adalah firma dana pelaburan negara ditubuhkan pada tahun 2009, sejurus selepas Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.