malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isa dipanggil minggu depan, siasatan akan lebih rancak
Diterbitkan:  Dec 27, 2017 11:48 AM
Dikemaskini: 8:26 AM
ADS

Polis akan merakam kenyataan bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berkaitan kehilangan hak milik tanah agensi kerajaan itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kenyataan Isa penting kerana beliau adalah pengurusan tertinggi Felda ketika itu, lapor Berita Harian.

"Siasatan awal polis mendapati Tan Sri Isa (Samad) adalah individu penting yang boleh membantu siasatan kes tanah Felda dan minggu depan polis akan memanggil beliau untuk diambil keterangan.

"Beliau sebagai Pengerusi Felda ketika itu ada kaitan dengan keputusan melabur, itu mesti (disiasat)," beliau dipetik sebagai berkata dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman di ibu negara, hari ini.

Setakat ini, kata Noor Rashid, polis sudah mengambil keterangan lebih lima individu terdiri daripada pegawai Felda, Pejabat Tanah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kes itu.

"Tindakan awal sudah diambil. Polis sudah rakam beberapa percakapan dan mengambil dokumen berkaitan syarikat yang terbabit dalam kes ini daripada SSM,” katanya.

Beliau dilapor berkata, siasatan dijangka akan lebih rancak minggu depan apabila polis mengambil keterangan individu penting dan dokumen berkaitan berhubung kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana penipuan serta pemalsuan dokumen.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila cabang pelaburan Felda – Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) – melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah itu.

Sementara itu Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk memberi keterangan pada minggu depan berhubung isu pemindahan hak milik tanah agensi berkenaan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ketika ini PDRM hanya mengambil keterangan daripada saksi-saksi lain terdiri daripada pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Felda serta Pejabat Daerah dan Tanah.

“Apa yang penting ialah keterangan daripada pengadu itu sendiri yang membuat laporan polis pada 12 Dis lepas. Mungkin esok atau lusa, PDRM akan mendapatkan percakapan daripada pengadu apabila pengadu tiba di Kuala Lumpur.

“Kita akan tengok dan kita akan dapat segala dokumen berkaitan bagaimana keputusan dibuat dan sebagainya, sudah tentu kita tahu memang Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda (ketika itu) dan dia ada kaitan dengan keputusan untuk melabur,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Noor Rashid berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/471 Kanun Keseksaan kerana penipuan dan pemalsuan dokumen.

Beliau berkata PDRM akan menganalisis segala rakaman percakapan dan dokumen yang diperoleh sebelum melengkapkan siasatan dalam tempoh terdekat ini.

Jumaat lepas, PDRM menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Mohd Isa menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 dan menjadi Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Jan 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Lihat Komen