malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Di mana rasisnya presiden PAS?'
Diterbitkan:  Dec 26, 2017 9:03 PM
Dikemaskini: 1:39 PM
ADS

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar pihak yang memutar belit kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan dakwaan presiden PAS itu sebagai berkata hanya pemimpin Melayu dan Islam boleh menjadi menteri di Malaysia.

Menurut Tuan Ibrahim, ada pemimpin yang tidak membaca artikel presiden PAS bertajuk "Mengapa kalau Islam tidak boleh?" dan sebaliknya terus mengulas berdasarkan tajuk sensasi sebilangan media.

“Pertama, tiada satu ayat pun di dalam kenyataan Presiden PAS yang mahu kabinet Melayu sahaja atau all-Malay cabinet. Olahan tajuk sensasi ini jauh daripada maksud sebenar ulasan Presiden PAS.

“Maksud utama ulasan Presiden PAS ialah bahawa Melayu-Islam perlu memimpin di dalam konteks politik Malaysia dan (orang) bukan Islam diterima untuk memerintah bersama di dalam bidang-bidang kepakaran dan pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam sebuah artikel yang disiarkan Harakahdaily 22 Disember lalu, Hadi menegaskan bahawa ajaran Islam menetapkan “ketua negara dan anggota kabinet perlu berakidah Islam dan daripada bangsa paling berpengaruh”.

Dalam artikel sama, Hadi menambah, Islam memberi hak yang lebih besar kepada penganut agama lain dalam urusan kehidupan berbanding yang diberikan agama atau ideologi lain.

Susulan itu, akhbar New Straits Times melaporkan berita bertajuk "PAS president: All-Malay cabinet members for Malaysia" (Presiden PAS: Anggota Kabinet Melayu untuk Malaysia).

HARAPAN bermain politik kaum?

Memetik semula artikel presiden PAS yang dimaksudkan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan Hadi bukan pemimpin yang bersifat perkauman dan dasar sama yang dikatakan Hadi diterima kebanyakan parti politik di Malaysia.

“Ayat-ayat di atas (artikel Hadi) jelas (menunjukkan) kabinet bayangan presiden PAS adalah dari pelbagai kaum, cuma yang memimpinnya mestilah penganut Islam. Di mana rasisnya Presiden PAS?

“Ini adalah dasar yang diterima oleh Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan juga BN.

"Apakah mereka yang menuduh presiden PAS rasis tidak bersetuju bahawa yang perlu memimpin Malaysia ialah dari kalangan penganut Islam? Jika ya, sila nyatakan pendirian ini secara terbuka,” katanya.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan BERSATU yang tidak membuka keahlian kepada semua kaum dan mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) bermain politik perkauman dengan menyusun jawatan mengikut kaum tertentu.

“Jika sedemikian mengapa BERSATU tidak membuka keahliannya kepada semua tapi untuk orang Melayu sahaja.

"Mengapa Pakatan Harapan bermain politik kaum di dalam susunan jawatan mereka untuk dilihat ia dipimpin oleh orang Melayu sedangkan yang mempunyai kerusi parlimen terbesar ialah DAP?" katanya.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) memenangi 89 daripada 222 kerusi parlimen, dengan 38 daripadanya dimenangi oleh DAP.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menegaskan pihak yang menyerang presiden PAS berbuat demikian kerana bimbang dengan perkembangan dan pertambahan pengaruh PAS serta jumlah ahlinya.

"PAS akan terus menerajui dan memimpin budaya politik matang dan sejahtera. PAS sudah serik dengan parti politik yang lain yang hidup atas fitnah dan persepsi semata-mata.

"Oleh itu, kami memilih untuk berbeza," katanya.

Lihat Komen