malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dilantik ketuai agensi PBB, datuk bandar MBPP ikrar buat yang terbaik
ADS

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Maimunah Mohd Sharif yang dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di UN-Habitat mulai 1 Januari ini, berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik di persada antarabangsa.

Beliau yang teruja dan gembira diberikan penghargaan untuk menjawat jawatan itu berkata akan melepaskan jawatannya sebagai datuk bandar MBPP setelah selesai mengangkat sumpah bagi jawatan itu di New York nanti.

Ketika dihubungi Bernama, wanita yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata, memang menjadi cita-cita dan impiannya untuk berkhidmat sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Syukur impian untuk berkhidmat sehingga ke peringkat antarabangsa tercapai. Saya harap saya boleh memberikan khidmat terbaik ketika bertugas di sana dalam aspek perbandaran.

“Saya akan mempraktikkan pengalaman sedia ada. Menjadi hasrat saya untuk melaksanakan matlamat oleh UN-Habitat iaitu 'matlamat pembangunan lestari' dan 'agenda perbandaran baru 2030' dapat dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan," katanya yang bakal bertugas di Nairobi, Kenya.

Pelantikan Maimunah dibuat oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang mendapat sokongan sebulat suara dalam perhimpunan agung pertubuhan itu pada 4 pagi, Sabtu.

Ia menjadikan Maimunah, 56, sebagai wanita pertama di Asia yang menjawat jawatan tersebut. Beliau akan menggantikan penyandang pengarah Eksekutif UN-Habitat yang juga bekas Datuk Bandar Barcelona, Joan Clos yang tamat kontrak secara rasmi pada 31 Disember ini.

UN-Habitat ialah agensi PBB yang bertanggungjawab menambah baik kehidupan di bandar yang pesat membangun.

Maimunah berkata, pada masa ini beliau belum menerima tarikh rasmi bagi upacara angkat sumpah dan masih menjalankan tugas sebagai datuk bandar MBPP sehingga tarikh angkat sumpah diketahui.

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu pengumuman berhubung pelantikan Maimunah dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam menyifatkan pelantikan datuk bandar MBPP itu sebagai sesuatu yang menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang dan juga Malaysia sekaligus mengharumkan nama Malaysia.

-Bernama

Lihat Komen