malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
ANAK: Najib tak boleh lepas diri kerana lantik Isa Samad
Diterbitkan:  Dec 24, 2017 2:41 PM
Dikemaskini: 10:18 AM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh melepaskan diri berikutan pelbagai skandal yang berlaku terhadap Felda, kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman.

Menurut Mazlan, Najib perlu bertanggungjawab kerana beliau merupakan individu yang melantik Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi sebelum ini.

"Di sebalik tanggapan kita mengenai Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh berlepas diri. Beliaulah yang melantik Isa Samad, meskipun dibantah banyak pihak.

"Konsep 'pertanggungjawaban bersama', dengan erti kata, tidak harus Isa Samad sahaja yang dipersalahkan. Maaf Datuk Seri Najib, anda bertanggungjawab atas malapetaka besar yang melanda Felda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan (gambar) mengulas laporan akhbar berbahasa Melayu bahawa Felda berisiko kehilangan hak ke atas sebidang tanah di ibu negara bernilai kira-kira RM270 juta ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa ‘meragukan’.

Isa adalah pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017.

Selain itu Isa juga pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Pengerusi baru Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak yang kini nilainya dianggar mencecah RM1 bilion.

Najib pula dilaporkan berkata beliau mahu siasatan terperinci dilakukan berhubung kes berkenaan.

Dakwa Najib, Razali tahu

Selain itu, Mazlan berkata lagi, dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah yang dikaitkan dengan tanah di Jalan Semarak boleh dielakkan sekiranya Najib, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Razali Ibrahim dan ahli lembaga pengarah Felda menghalangnya daripada awal.

"Saya yakin perdana menteri dan Datuk Razali Ibrahim tahu maklumat perancangan pembangunan tanah di Jalan Semarak," katanya.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, beliau melahirkan rasa simpati terhadap Shahrir yang terpaksa mencuci 'najis' yang ditinggalkan oleh pihak sebelumnya.

"Saya simpati dengan Tan Sri Shahrir Samad yang bertanggungjawab mencuci 'najis' yang ditinggalkan mereka yang terdahulu," katanya lagi.

Lihat Komen