malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: Nilai tanah Felda Jalan Semarak mencecah RM1 bilion
Diterbitkan:  Dec 23, 2017 8:21 PM
Dikemaskini: 12:24 PM
ADS

Nilai tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jalan Semarak yang diambil alih syarikat pemaju bagi projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) mungkin empat kali ganda berbanding harga jualannya.

Tanah tersebut dijual Felda oleh syarikat tersebut dengan harga RM270 juta dalam urus niaga yang didakwa meragukan pada 2015.

Laporan Berita Harian hari ini memetik penilai bebas yang menganggarkan harga tanah itu sekarang sebenarnya mencecah RM1 bilion.

Eksekutif penilaian kanan sebuah syarikat swasta Umran Suffian Hussin berkata, berdasarkan data hartanah, harga tanah di sekitar Jalan Gurney, Jalan Maktab dan Jalan Semarak bernilai antara RM1,300 hingga Rm1,600 sekaki persegi.

"Ini adalah anggaran kasar memandangkan nilai hartanah di kawasan itu bergantung kepada saiz, zon kegunaan tanah dan lokasi sebenar," katanya seperti dipetik.

Menurut laporan itu lagi, sumber yang rapat dengan projek KLVC pula memberi anggaran harga RM1,950 untuk sekaki persegi.

Tanah itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara Felda dikenali sebagai Menara 1A KLVC, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad sebelum ini berkata, agensi itu sepatutnya kekal menjadi pemilik tanah, tetapi pada 2014, pemaju utama KLVC mendapat surat kuasa dan memindahkan hak milik kepadanya.

Polis telah memulakan siasatan berhubung perkara itu, dan bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dijangka akan dipanggil untuk soal siasat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim pula memaklumkan audit bebas akan dilaksanakan bulan depan untuk menentukan sama ada berlaku pelanggaran prosedur dalam Felda atau Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Lihat Komen