malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tanah Felda: Najib kata tindakan akan diambil
Diterbitkan:  Dec 22, 2017 1:00 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan siasatan terperinci berhubung kes pemindahan hak milik tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, seperti yang didedahkan semalam.

Beliau berkata, tindakan akan diambil jika terdapat kecuaian atau salah laku dalam pemindahan itu.

"Saya mahu siasatan terperinci dijalankan oleh pihak berkuasa serta-merta. Tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku, berasaskan laporan siasatan.

"Kepentingan Felda dan peneroka mesti sentiasa kita jaga dalam seagala usaha pembangunan," katanya di Twitter, hari ini.

Beliau juga berkata telah mengarahkan Felda untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kepentingan badan itu.

Berita Harian semalam melaporkan, Felda berisiko hilang pemilikan tanah bernilai kira-kira RM270 juta di Jalan semarak, Kuala Lumpur, ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa "meragukan".

Tanah itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara Felda, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad semalam mengumumkan laporan polis telah dibuat selepas isu itu dibangkitkan di Jabatan Perdana Menteri 12 Disember lalu.

Katanya lagi, Felda sepatutnya kekal menjadi pemilik tanah itu, tetapi pada 2014, pemaju utama KLVC diberikan surat kuasa wakil dan memindahkan hak milik tanah itu kepada syarikat itu sendiri.

Ketika ditanya sama ada laporan polis turut menamakan bekas Pengerusi Felda Tan Sri isa Samad atau ahli lembaga pengarah pada waktu ia berlaku, Shahrir berkata hanya pemaju yang disebut, dan menyerahkan soal lain kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim pula berkata, audit bebas akan diadakan bulan depan bagi menentukan jika wujud pelanggaran prosedur dalam Felda atau Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Tak terima satu sen

Dalam sidang media semalam, Shahrir juga berkata Felda disyaki "tidak dibayar satu sen" pun daripada sebarang perjanjian berkaitan.

"Satu sen tidak bayar, tiada transaksi. Tiada rekod pembayaran...(Maka) Pelik, sudah dijual (tetapi) kita tidak dapat duit," katanya.

Ketika ditanya sama ada Felda sanggup menjual tanah itu jika syarikat membuat bayaran, Shahrir menegaskan Felda tidak berminat dengan wang, tetapi tanah di situ.

Shahrir dilantik sebagai pengerusi Felda pada Januari 2017 bagi menggantikan Isa, yang menerajui agensi itu sejak 2011.

Isa juga menjadi pengerusi Felda Global Ventures bermula 1 Januari 2011 hingga 19 Jun 2017, serta pengerusi FIC sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga awal tahun ini.

Perubahan itu susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap agensi itu, termasuk terhadap Isa sendiri.

Isa kini menjadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Lihat Komen