malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Trump ancam tarik balik bantuan negara yang membantahnya di PBB
ADS

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengancam untuk menarik balik bantuan kewangan dari negara yang menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak pengiktirafan AS dalam isu Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

"Mereka telah mengambil beratus-ratus juta dolar, bahkan berbilion dolar, dan mereka mengundi menentang kami," kata Trump kepada pemberita pada mesyuarat kabinet di Rumah Putih.

"Kami sedang memerhatikan undi-undi tersebut. Biarkan mereka mengundi menentang kami. Kami akan menjimatkan wang yang begitu banyak. Kami tidak peduli," katanya.

Kenyataan Trump dibuat selepas Duta AS ke PBB, Nikki Haley, menerusi akaun Twitter beliau menyatakan bahawa "AS akan mengambil nama" mereka yang mengkritik pilihan AS di Perhimpunan Agung PBB.

Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sesi mesyuarat tergempar yang jarang dilakukan bagi membincangkan status Baitulmaqdis pada Khamis selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap gesaan awal yang digubal oleh Mesir agar Washington menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Amerika Syarikat pada Isnin telah menggunakan kuasa vetonya terhadap satu draf resolusi Majlis Keselamatan berhubung status Baitulmaqdis.

Kesemua 14 anggota Majlis Keselamatan telah mengundi untuk menyokong teks draf yang digubal oleh Mesir itu.

Bagaimanapun, memandangkan Amerika Syarikat, yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan, mempunyai kuasa veto, resolusi itu tidak dapat diterima pakai.

Sebelum undian, Duta Mesir ke PBB, Amr Abdellatif Aboulatta menjelaskan bahawa draf resolusi itu bertujuan memastikan bahawa sebarang percubaan untuk mengubah ciri-ciri atau komposisi demografik Kota Lama Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan, batal serta tidak sah dan hendaklah dimansuhkan.

Draf resolusi itu turut menggesa semua pihak tidak mewujudkan misi diplomatik di Baitulmaqdis, katanya.

Menurut sumber PBB, Duta Palestin Riyad Mansour berkata negaranya berharap Perhimpunan Agung tersebut akan merangka satu resolusi bagi menggesa penarikan balik langkah AS itu.

Pada 6 Disember, Trump mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang mencetuskan kemarahan besar-besaran dalam kalangan dunia Arab dan Islam.

-Bernama

Lihat Komen