malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
S'gor bantah pendengaran tergesa-gesa SPR di musim cuti
Diterbitkan:  Dec 21, 2017 12:26 PM
Dikemaskini: 5:33 AM
ADS

Kerajaan Selangor membantah tindakan tergesa-gesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan pendengaran bagi mendengar bantahan persempadanan semula di Selangor yang akan bermula Rabu depan.

Langkah itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan SPR meneruskan sesi pendengaran siasatan tempatan pada Isnin lalu.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, SPR menyukarkan pembantah untuk hadir dalam sesi pendengaran itu meskipun mereka mempunyai tempoh sehingga September 2018 untuk berbuat demikian.

"Langkah terbaru SPR menyusahkan pembantah untuk hadir ke sesi pendengaran kerana tidak mengambil kira minggu terakhir Disember adalah musim cuti, yang mana orang ramai bercuti bersama keluarga, bersiap untuk memulakan sesi persekolahan dan menyambut Hari Krismas,"

"Tindakan SPR itu jelas dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dengan notis terlalu singkat dalam musim cuti panjang, meskipun SPR mempunyai tempoh sehingga September 2018 untuk menyelesaikan perkara berkenaan," katanya dalam kenyatanan media.

Beliau juga mendakwa langkah SPR menandakan Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hampir yang akan menyaksikan "proses pilihan raya kotor dan tempang dalam sejarah negara".

"Terang lagi bersuluh, terdapat wujudnya campur tangan elit politik untuk memanipulasi proses pilihan raya melalui persempadanan semula supaya mereka kekal menguasai negara," katanya.

"Persempadanan semula pilihan raya dibuat secara tidak adil dan memihak kepada Barisan Nasional (BN) adalah bukti kukuh bahawa BN gagal menyaingi kerajaan Negeri Selangor daripada aspek urus tadbir awam dan pencapaian dasar," katanya.

Awal bulan ini Selangor gagal dalam permohonan semakan kehakiman dikemukakannya bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di Selangor oleh SPR.

Hakim Azizul Azmi Adnan bagaimanapun membenarkan perintah sementara dalam menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 18 Disember lalu Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah sementara itu dan membenarkan SPR menjalankan pendengaran.

Kerajaan Selangor memfailkan cabaran undang-undang pada Oktober tahun lalu bagi membatalkan notis SPR mengenai persempadanan semula berkenaan dengan mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Lihat Komen