malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ECRL: Berhenti berdolak-dalih dan jawab, kata Pua
Diterbitkan:  Dec 20, 2017 4:11 PM
Dikemaskini: 8:21 AM
ADS

Anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mendakwa Datuk Abdul Rahman Dahlan berdolak-dalik daripada menjawab persoalan dan kritikan berkenaan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion.

Pua berkata, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bahawa ECRL adalah "pelaburan tempatan dengan dana luar" tidak menjawab soalan mengapa kontrak projek itu diberikan secara rundingan terus dengan syarikat China, serta sama ada ia dimiliki pihak luar.

Soalan tersebut antara yang dilontarkan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin pada 17 Disember lalu.

Daim juga antara lain mempersoalkan sama ada China membuat pelaburan dalam ECRL atau hanya memberikan pinjaman.

"Kalau bayar semula duit, maknanya apa? Kalau kamu seorang pelabur kamu akan kata apa? Itu bukan pelaburan, itu pinjaman," katanya yang juga setiausaha publisiti DAP.

Abdul Rahman kemudian berkata sama ada Daim (gambar) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) "lebih gembira" jika pihak luar yang memiliki dan mengendalikan ECRL.

Pua menyifatkan jawapan Abdul Rahman itu sebagai "tidak jujur".

"Hakikatnya walaupun ECRL adalah projek pembangunan yang didanai dengan hutang luar negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet sering menjadikannya sebagai contoh kebolehan Malaysia untuk menarik pelaburan dari China," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Daim hanya cuba memperbetulkan persepsi berkenaan projek besar itu - iaitu bukan satu pelaburan oleh China tetapi hutang besar yang perlu dibayar rakyat di masa hadapan.

"Persoalannya bukan sama ada Mahathir, Daim atau mana-mana warga Malaysia lebih suka jika ECRL dimiliki dan dikendalikan pihak luar.

"Tetapi rakyat Malaysia akan 'lebih gembira' jika projek itu dijalankan secara tender terbuka dan kompetitif agar pembayar cukai mendapat nilai yang terbaik daripada wang mereka," katanya.

Menekankan persoalan berhubung tiadanya tender yang kompetitif untuk projek sebesar itu, Pua berkata ia menimbulkan pertanyaan siapakah yang benar-benar mendapat manfaat daripada kontrak itu.

"Sebelum ini sudah ada pendedahan yang perunding kejuruteraan yang dilantik kerajaan, HSS Integrated (HSSI) pada Disember 2015 menganggarkan nilai projek itu adalah RM29 bilion (RM5.2 juta bagi setiap kilometer).

"Manakala syarikat milik China, China Communications Construction Company (CCCC) dianugerahkan kontrak bernilai RM55 bilion (RM91.7 juta setiap kilometer).

"Kami telah mendesak agar laporan HSSI dibuka kepada umum dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah berjanji di Parlimen pada November 2016 untuk 'menerbitkan' kajian kebolehlaksanaan projek itu selepas ia siap. Namun ia kekal sebagai dokumen rahsia kerajaan BN," katanya.

Maka, katanya lagi, persoalan mengapa CCCC diberi kontrak bernilai RM55 bilion secara terus - sedangkan anggaran projek tidak mencecah RM30 bilion - walaupun dengan syarat pembiayaan yang berpihak kepada Malaysia, kekal tidak terjawab.

"Ke mana lebihan RM25 bilion itu pergi? Adakah untuk membayar sebahagian hutang 1MDB seperti yang dispekulasikan?" soalnya.

Lihat Komen