malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerajaan perlu menjawab kebimbangan yang dibangkitkan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin baru-baru ini berhubung pelaburan yang dibawa China di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata ini kerana isu tersebut jelas menjadi kekhuatiran banyak pihak.

“Betul, kami setuju dengan persoalan Tun Daim adakah ia satu pelaburan atau pinjaman dan kalau ia pinjaman bagaimanakah kita dapat memastikan kesan daripada pinjaman itu melebihi positif dari negatif.

“Tapi saya rasa tak perlu untuk saya kupas dengan lebih panjang kerana isu ini jelas adalah kerana kekhuatiran sesetengah pihak tentang seperti apa yang saya kata tadi adakah kita mendapat hasil sewajarnya dengan pelaburan yang dibuat,” kata Ahmad Yazid dalam sidang media selepas mesyuarat Agung Tahunan MTEM di Cyberjaya, hari ini.

Beliau mengulas persoalan yang dibangkitkan Tun Daim mengenai pelaburan China untuk projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Tun Daim ketika ditemui media pada Ahad lalu selepas menghadiri sesi dialog tertutup anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Subang Jaya, Selangor membangkitkan persoalan sama ada kerajaan perlu membuat bayaran semula kepada pembiayanya China.

Mengulas lanjut Ahmad Yazid berkata pihaknya juga turut khuatir dengan apa yang menjadi kebimbangan Tun Daim.

“Kami khuatir tetapi kami tidak mahu membuat satu kenyataan yang terburu-buru, kita tunggu lagi kenyataan-kenyataan daripada kerajaan untuk meyakinkan rakyat keberkesanan program ini dari segi menjana ekonomi negara.

“Untuk setengah perkara kami ada bincangkan perkara itu tapi kami ambil pendekatan tunggu dan lihat bagaimana perkara itu akan dikongsikan dengan rakyat sebelum ia diulas dengan lebih lanjut beserta data-data yang lengkap dan kami juga tak mahu jump the gun,” kata Ahmad Yazid.

Oleh demikian, Ahmad Yazid berkata adalah perlu untuk satu kajian dilakukan pihak terlibat selain pembentangan khusus mengenainya.

“Sebuah kajian perlu dilakukan dan perlu dibentang untuk menenangkan pihak-pihak yang merasa khuatir dengan isu yang disebutkan oleh Tun Daim itu,” tambah Ahmad Yazid.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen