malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saman Guan Eng dan See-To selesai luar mahkamah
Diterbitkan:  Dec 19, 2017 11:02 PM
Dikemaskini: 3:13 PM
ADS

Timbalan pengarah komunikasi strategik BN (BNSC) Datuk Eric See-To dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menyelesaikan saman malu masing-masing terhadap satu sama lain di antara mereka.

See-To berkata kedua-dua mereka bertemu di kamar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi dan bersetuju membatalkan saman masing-masing.

"Kami berdua bersetuju untuk menggugurkan saman-saman ini dan saya berpegang kepada kenyataan asal saya bahawa beliau menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya walaupun beberapa kali beliau berkata sedia untuk membersihkan namanya di mahkamah.

"Sekarang isu ini telah selesai dan saya berpegang kepada kenyataan asal saya. Maksudnya saya tidak memfitnah Lim, sebagaimana yang beliau dakwa dalam kenyataannya dan mengancam untuk menyaman saya.

"Penyelesaian ini juga bermakna beliau sudah tidak lagi menyaman saya berhubung kenyataan ini, malahan untuk masa akan datang juga," kata See-To (gambar, bawah).

See-To menyaman Lim pada Ogos lalu, sebulan selepas Guan Eng mengancam untuk memfailkan saman malu terhadap beliau dan akhbar New Straits Times (NST).

Guan Eng membuat ancaman itu selepas timbalan pengarah BNSC itu membidas setiausaha agung DAP kerana membayangkan program kebajikan di Pulau Pinang akan terjejas jika beliau disabitkan atas kesalahan rasuah. Komen See-To itu disiarkan dalam laporan NST.

Menurut laporan itu, Lim dipetik sebagai berkata penduduk Pulau Pinang bimbang sabitan kes beliau akan memberi kesan terhadap program kebajikan negeri i-Sejahtera, yang memberikan bantuan tunai RM100 kepada para ibu tunggal, golongan kurang upaya, warga emas dan suri rumah .

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan Lim membuat kenyataan itu di Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jawi, Nibong Tebal pada 1 Julai lalu.

See-To menjelaskan Lim memang membuat kenyataan tersebut tetapi pada tahun 2016.

"Faktanya Lim berkata demikian itu pada kenyataan rasmi bertarikh 1 Julai 2016," kata See-To.

Penganiayaan politik

Pejabat Lim mendakwa BN cuba menggunakan tuduhan rasuah ke atasnya bagi mengalihkan perhatian daripada skandal 1MDB dan menegaskan dakwaan ketua menteri bahawa pertuduhan tersebut bersamaan dengan penganiayaan politik.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim menghadapi tuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo

Pihak kerajaan memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap Lim pada September tahun lalu mengenai dakwaan penganiayaan politik Lim itu.

Kemudian pada 6 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan permohonan prosiding menghina mahkamah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang yang difailkan oleh peguam negara (AG).


 

Lihat Komen