malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MTEM: Robert Kuok jadi kaya kerana jasa kerajaan
ADS

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menasihatkan hartawan Malaysia agar menjaga hubungan baik dengan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata ini kerana laba yang diperolehi mereka hari ini adalah hasil daripada kerajaan.

Menurut Ahmad Yazid, kekayaan jutawan-jutawan tersebut sebenarnya diperolehi melalui banyaknya peluang perniagaan sama ada dengan pemberian tanah mahu pun permit-permit untuk menjalankan perdagangan.

“Mereka tidak boleh menafikan hubungan baik mereka dengan kerajaan menjadi faktor yang utama menyebabkan mereka mempunyai kelebihan membina perniagaan yang besar.

“Dalam erti kata lain kebanyakan jutawan-jutawan di Malaysia ini mempunyai hubungan baik dalam terma ekonominya kroni kapitalisme adalah menjadi punca utama mereka mempunyai kekayaan,” kata Ahmad Yazid yang dipercayai merujuk kepada hartawan, Tan Sri Robert Kuok.

Ahmad Yazid (gambar, atas) berkata demikian dalam sidang medianya sempena mesyuarat agungnya ke-5 di kompeks MAGic, Cyberjaya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Yazid turut menepis dakwaan Kuok yang mendakwa agenda bumiputera diperjuangkan oleh kerajaan Malaysia menganaktirikan kaum-kaum lain.

Sebaliknya, Ahmad Yazid mempertahankan agenda bumiputera dengan mengatakan ia sebuah polisi yang baik dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengatasi ketidakseimbangan ekonomi berasaskan perkauman yang merupakan warisan penjajah.

“Agenda bumiputera bukan lah satu agenda yang menganaktirikan kaum lain seperti mana yang didakwa oleh seorang tokoh perniagaan yang kini bermastautin di Hong Kong (Robert Kuok).

“Tetapi ia merupakan sebuah polisi untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi yang berasaskan perkauman hasil daripada lebih 100 tahun penjajahan,” kata Ahmad Yazid.

Rayuan Kuok ditolak

Jelasnya lagi, kenyataan Kuok sebenarnya amat mengecewakan kerana dilihat cuba menafikan sumbangan pihak-pihak lain yang membantu mereka menjana kekayaan yang besar sehingga sekarang.

“Jadi untuk mengatakan kebolehan mereka membina ekonomi adalah kerana mereka dan kaum mereka adalah sesuatu yang agak mengecewakan kerana menafikan sumbangan pihak-pihak yang menjadikan kekayaan mereka mencapai tahap yang dicapai hari ini,” ujarnya lagi.

Individu paling kaya di Malaysia itu baru-baru ini merakamkan pengalamannya dalam buku Robert Kuok: A Memoir. Dalam memoir itu Kuok menulis Malaysia dalam landasan yang salah kerana dasar ekonominya yang berasaskan kaum.

Dalam buku itu, Kuok berkata beliau telah merayu kepada perdana menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hessein Onn bagi merangka agenda ekonomi yang tidak berasaskan kaum tetapi rayuannya ditolak.

Lihat Komen