malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ECRL hanya untungkan China, kata pemimpin BERSATU
ADS

Pemimpin BERSATU Rais Husin Mohamed Ariff berkata perjanjian projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) hanya menguntungkan China.

Sepertimana pandangan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, Rais juga berpendapat projek ECRL bukan suatu pelaburan.

"Ia suatu sistem lama landasan tunggal yang dibina dengan kos RM55 bilion dengan kadar bunga 3.5 peratus untuk dibayar secara ansuran selama 240 bulan selepas tempoh penangguhan (grace period)," kata penganalisis Bersatu itu juga.

Grace period merujuk tempoh yang tidak dikenakan sebarang kos upah sebelum jadual bayaran balik bermula.

"China dapat memberikan pinjaman daripada simpanan negaranya yang besar, menjual sistem keretapi yang lama serta bahagian-bahagian keretapi itu termasuklah segala hal kecil dan membawa masuk pekerja mereka," kata Rais (gambar, bawah) memberitahu Malaysiakini.

Projek tersebut, tambah beliau akan hanya menguntungkan China manakala rakyat Malaysia akan menanggung beban hutang besar yang tidak mapan.

"Tentulah ini hutang dan bukan pelaburan," kata ahli majlis tertinggi Bersatu itu.

Minggu lalu, Daim mempersoalkan sama ada projek-projek yang disokong China itu merupakan pelaburan ataupun hutang. Daim memberikan ECRL sebagai contoh persoalan yang dibangkitkannya itu.

Jawapan bertulis parlimen kementerian kewangan menyebut kos ECRL akan kekal pada RM55 bilion, iaitu sebanyak 85 peratus kos akan ditanggung melalui pinjaman mudah yang dijamin kerajaan daripada China Export-Import Bank (Exim Bank).

Sementara baki kos projek itu akan didanai melalui bon Islamik atau sukuk daripada institusi kewangan tempatan.

Dilaporkan juga kos projek itu dijangka akan meningkat di antara RM60 bilion ke RM70 bilion untuk kos landasan berkembar bagi laluan ECRL sepanjang 668km dan kos mengambil alih tanah dari Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Bagaimanapun, kementerian kewangan bulan lalu berkata projek ECRL hanya akan membina sebuah landasan tunggal sahaja. Namun landasan tunggal itu akan diletakkan di atas 'formasi landasan berkembar'.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen