malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isu Sg Yu: SPRM ambil keterangan 15 individu termasuk exco
Diterbitkan:  Dec 19, 2017 11:46 AM
Dikemaskini: 3:55 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan 15 individu termasuk Exco Selangor bagi membantu siasatan berhubung isu pemberian tanah Kampung Sungai Yu, di Tanjung Karang Selangor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, antara yang turut diambil keterangan termasuk ahli-ahli jawatankuasa pemilihan tanah Sungai Yu dan kakitangan di pejabat tanah.

Kata Azam, selain mereka, enam lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan mengenai kes terbabit turut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Menurut Azam, pihaknya juga akan memanggil beberapa individu daripada jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Ke­upayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan memandangkan kita masih meneliti beberapa dokumen berkaitan yang diperoleh daripada kerajaan Selangor.

“Sepanjang proses tersebut juga, kita telah mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan berharap tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung kes ini.

Minggu lalu, SPRM mengesahkan pihaknya akan membuka semula kertas siasatan berhubung isu tanah di Kampung Sungai Yu.

Pada 18 Disember lalu, Pengerusi Selcat, Hannah Yeoh mengakui wujudnya pelanggaran syarat dalam proses pemberian tanah di Kampung Sungai Yu setelah pihaknya meneliti secara terperinci segala maklumat yang diperoleh dari Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta PTG negeri.

Serentak dengan pengakuan Selcat itu, Hannah turut mengeluarkan lima resolusi kepada kerajaan negeri antaranya meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggantung proses pemberian pemilikan tanah sehingga jawatankuasa pemilihan baru dilantik, selain mengesahkan semula kelayakan pemohon.

Bagaimanapun Hannah dilapor mempertikai tindakan SPRM Putrajaya membuka semula kertas siasatan berhubung isu berkenaan.

Manakala Azmin pula menuntut SPRM bertindak secara profesional tanpa campur tangan eksekutif atau semata-mata berdasarkan laporan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar.

“Seperti yang saya tegaskan, kita mahu agensi penguatkuasa termasuk SPRM bertindak secara profesional dan tidak dipengaruhi mana-mana tangan eksekutif.

“Ini bukan soal buka atau tutup (kes) tetapi bertindak secara profesional, jangan ikut arahan Noh Omar,” kata Azmin seperti dilapor.

Lihat Komen