malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kemenangan Aishah bantu kempen PRU 14 - AMANAH
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak menolak kemungkinan kemenangan Aishah dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) semalam akan membantu meningkatkan imej parti itu terutama menjelang pilihan raya umum (PRU), kata Pengarah Komunikasi Khalid Samad.

Malah kata Khalid lagi, partinya berbesar hati jika Aishah mahu bersama-sama dalam kempen AMANAH dan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Khalid berkata, ini kerana Aisyah bukan liabiliti kepada AMANAH dan reputasinya lebih baik berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita harap aura Aisyah dapat tarik pengundi muda dan atas pagar dan insya-Allah sejauh mana Aisyah sendiri sanggup menyumbang bersama dalam kempen, kita akan bantu dia sekali, semua orang saya rasa ada niat melakukan kebaikan.

“Jangan kita letak halangan sedangan niat dia nak buat kebaikan, jadi kita bantu dan kalau dia sanggup untuk bantu dan manfaatkan imej dia sebagai juara GV untuk kempen Pakatan Harapan dan AMANAH.

“Bagi saya dia (Aisyah) bukan seorang yang jahat, yang menjadi sebagai satu liabiliti hanya kerana dia menyanyi. Kalau nak dibandingkan dengan Najib yang jauh lagi teruk dari segi imej yang jauh lebih rosak,” kata Khalid dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas apakah AMANAH akan menggunakan Aisyah bagi kempen parti itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Perlihatkan keindahan Islam

Aishah yang merupakan anggota AMANAH dan aktif bersama pergerakan wanita parti itu menewaskan empat peserta Gegar Vaganza lain, iaitu Liza Hanim, Hazami, Tia Jinbara, Lan dan Firman Siagian.

Dalam pada itu,Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam turut menepis dakwaan keterbukaan AMANAH untuk berhibur antara lelaki dan perempuan disifatkan sebagai liberal.

Sebaliknya, Khalid menegaskan usaha tersebut bagi menunjukkan Islam adalah agama yang sederhana serta rahmat kepada semua.

“Kita di AMANAH membawa satu pendekatan yang tidak keras (seperti mana Islam), bila kita cakap macam itu orang cakap kita liberal.

“Bukan liberal tapi pendekatan berhemah dan berhikmah. Kita nak orang yang nak (berminat memahami) Islam terima dan cuba hayati Islam.

“Kita ada sedikit kelonggaran yang mana kita cuba menentukan bahawa ia tidak terlalu keras sehingga membebankan umat Islam itu sendiri.

“Sikap inilah dizahirkan dan atas sikap itu yang Aishah melibatkan diri dalam GV dan kita harap dengan itu maka orang tak akan rasa Islam ini mencengkam, semua tak boleh, haram, sampai nak bernafas pun tak boleh,” kata Khalid.

Malah kata Khalid, Aishah sendiri telah memperlihatkan keindahan Islam itu sepanjang berada di Gegar Vaganza.

“Dan Aishah bila dia minta izin kita (parti), kita kata biar tunjuk keterampilan yang wajar dan jangan keterlaluan dia atas pentas serta tunjuk satu imej yang boleh dihormati. (Kita lihat) dia pun minimumkan cara dia (di pentas),” kata Khalid.

Ustazah segera

Penglibatan Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin dalam politik bermula pada 2012 selepas menyertai PAS sebelum bertanding sebagai calon Parlimen Jempol pada PRU 2013 menentang bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Pada 2015, Aishah bersama-sama ramai lagi ahli PAS berhijrah ke AMANAH, susulan perpecahan dalaman parti itu.

Sementara itu, AMANAH sebelum ini berkata tiada masalah untuk Aishah menyertai pertandingan tersebut.

"AMANAH memberi restu. Aishah ialah penyanyi, maka AMANAH tidak pernah berhasrat untuk mengubah dia menjadi ustazah khususnya 'ustazah segera'," kata anggota Jawatankuasa Pusat AMANAH Hanipa Maidin.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata pusat khidmat anggota parlimen Shah Alam itu kini sedang menawarkan kelas latihan muzik untuk anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, tawaran tersebut hasil daripada idea komposer Muhamad Osman bagi tujuan memberi peluang serta mencari bakat baru yang mempunyai potensi dalam bidang nyayian.

“Kami akan buka kelas muzik yang akan dipimpin oleh komposer terkenal saudara Muhamad Osman dan akan menawarkan sijil yang diiktiraf di luar negara

“Tempoh belajar 4 bulan, tujuan kita ini kerana kita sedih melihat budak-budak yang ada bakat menyanyi tapi hanya dapat nyanyi di tepi-tepi jalan akhirnya terjebak dengan dadah, jadi baik kita asah dan bantu supaya mereka boleh maju,” katanya sambil memaklumkan mana-mana pihak yang berminat boleh membuat permohonan sebelum program itu bermula pada 23 Disember ini.

Lihat Komen