malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khalid dakwa JAIS mahu halangnya tanding PRU
ADS

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa terdapat usaha untuk menghalangnya daripada bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau berkata, ia berikutan tindakan JAIS yang membuat rayuan minggu lalu bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang mengurangkan denda terhadapnya daripada RM2,900 kepada RM1,900.

Ia atas kesalahan mengajar Islam tanpa tauliah di sebuah surau enam tahun lalu.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang anggota parlimen yang disabitkan bersalah di mahkamah dan dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau denda melebihi RM2,000 akan hilang kelayakannya selama lima tahun.

"(Tindakan JAIS) seolah-olah satu cara untuk menghalang saya daripada terus menjadi anggota parlimen dan jika itulah niat sebenar (rayuan) JAIS, ia amat mengecawakan.

"Ia menunjukkan JAIS dijadikan batu loncatan oleh mana-mana pihak yang tidak suka saya sebagai anggota parlimen," katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengekalkan keputusan bersalah Khalid tetapi mengurangkan denda kepada RM1,900.

Hakim syarie Salehan Yatim berkata beliau mengambil maklum yang jumlah asal denda, RM2,900, boleh menyebabkan Khalid kehilangan kerusinya dan penduduk Shah Alam hilang wakil rakyat yang dipilih mereka.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) kerana berucap di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, antara 10 malam hingga 11.50 malam pada 16 Ogos 2011.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa kerajaan Selangor dan JAIS membuat kenyataan jelas berhubung takrifan 'mengajar' di masjid dan surau.

"Nak cakap tentang Islam pun tak boleh, apa yang saya buat sebelum ini bukannya mengajar tetapi berkongsi pengalaman di Gaza, Palestin. Ada beza antara mengajar dan bercakap.

"Saya harap kerajaan Selangor ambil berat perkara ini kerana kita tidak mahu Islam dipenjara. Kita sepatutnya mengalakkan orang bercakap tentang Islam selagi mana ia bukan ajaran sesat," katanya lagi sambil berkata telah membuat permohonan tauliah sebanyak lima kali tetapi ditolak tanpa sebab munasabah.

Lihat Komen