malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maklumat tular di media sosial boleh sukarkan tangkapan
Diterbitkan:  Dec 18, 2017 4:05 PM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berjaya memberkas 21 daripada 22 suspek yang terlibat dalam kejadian gangguan seksual yang dilaporkan sepanjang tahun ini.

Di samping itu, anggota pasukan terbabit juga menahan 13 suspek kerana disyaki menggangu penumpang di atas pengangkutan awam.

Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun, berkata salah satu pengajaran daripada kejadian seumpama itu ialah, seseorang mangsa perlu melaporkan terus kepada Polis Bantuan Prasarana dan bekerjasama rapat dengan mereka untuk menangkap suspek.

"Rata-rata suspek berjaya ditangkap selang beberapa hari selepas laporan dibuat," katanya.

Menurut Lim Prasarana memahami kegusaran di kalangan masyarakat seperti maklum balas yang disuarakan menerusi media sosial.

Namun katanya perlu diingat kesan daripada penularan maklumat di media sosial juga mungkin boleh menyukarkan pihak berkuasa untuk menangkap suspek.

Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam yang utama, kata Lim, Kumpulan Prasarana menerusi anak-anak syarikatnya membawa lebih daripada sejuta pengguna setiap hari dan tidak terkecuali daripada menghadapi insiden tidak diingini.

Bagaimanapun, katanya, kakitangan operasi dan Polis Bantuan Prasarana komited untuk membantu pelanggan mereka sebaik mungkin.

Pada petang 14 Disember empat kes gangguan seksual berlaku dalam rangkaian rel RapidKL.

Suspek sembunyi diri

Suspek yang terlibat dalam tiga kes telah ditangkap tidak lama selepas mangsa melaporkan insiden berkenaan kepada Polis Bantuan Prasarana yang bertugas di stesen mereka.

Dalam kes keempat, polis bantuan telah mengejar suspek apabila dilaporkan oleh mangsa namun individu terbabit sempat memboloskan diri.

Menurut Lim, Polis Bantuan Prasarana telah mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan telah menyerahkan bahan rakaman itu kepada polis bagi membantu untuk menangkap suspek.

“Kami juga telah bertemu dengan mangsa dan memberi jaminan bahawa kejadian itu disiasat dengan teliti.

"Kami ingin meyakinkan penumpang bahawa polis bantuan kami sentiasa mengadakan rondaan sama ada secara beruniform atau berpakaian preman di sepanjang rangkaian kendalian Prasarana.

"Sekali lagi, kami ingin meminta penumpang yang menjadi mangsa gangguan untuk menghubungi polis bantuan secepat mungkin dan memberikan kerjasama erat kepada kami untuk memberkas suspek.

"Perkongsian di media sosial dapat menjana kesedaran di kalangan orang ramai tetapi pada masa sama kami tidak mahu suspek menyembunyikan diri setelah publisiti meluas tular di media sosial,” katanya.

Lihat Komen