GLOBAL | Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini mengumumkan rancangannya membuka kedutaan di Baitulmaqdis Timur, kurang dua minggu selepas Rumah Putih mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
“Insya-Allah waktunya sudah hampir apabila secara rasmi dengan izin Allah kita membuka kedutaan Turki di sana," kata Erdogan semasa berucap kepada penyokong Parti Keadilan dan Pembangunan di Karaman hari ini.
Katanya pesuruhjaya tinggi Turki di Baitulmaqdis ketika ini sudah diwakili seorang diplomat bertaraf duta.
Baitulmaqdis Timur - atau nama lainnya al-Quds - ialah bandar lama yang diletak di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu namun dijajah Israel pada 1967 tanpa mendapat pengiktirafan dunia.
Ia dianggap penting kepada tiga agama - Islam, Kristian dan Yahudi - dan Palestin bercadang menjadikannya ibu negara pada suatu hari ini.
Pengumuman Erdgan itu secara tidak langsung menunjukkan - secara simbolik - pengakuan Ankara kepada ibu negara Palestin.
Konflik di Timur Tengah banyak berkisar mengenai kedudukan Baitulmaqdis dan Washington mengiktiraf ia sebagai ibu negara Israel dengan membuka kedutaannya di situ pada 6 Dis lalu.
Reuters melaporkan rancangan Erdogan itu namun tidak dapat dipastikan bagaimana Ankara mahu melakukannya.
Beberapa hari lalu Turki menganjurkan sidang kemuncak pemimpin negara Islam untuk membincangkan perkembangan di Baitulmaqdis.
Beliau juga mengetuai gesaan supaya dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.
Untuk rekod negara asing selain AS membuka kedutaan masing-masing di Tel Aviv.