Projek disokong China itu pelaburan atau pinjaman?


(Dikemaskini )

Sejumlah projek yang mendapat sokongan Beijing mungkin menjadi bukti kepada Putrajaya bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak memiliki kuasa tarikan pelaburan asing yang berkesan.

Namun tanggapan itu tidak dikongsi bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

Ditanya mengenai pelaburan China untuk projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) Daim sebaliknya menyoal sama ada kerajaan perlu membuat bayaran semula kepada pembiayanya.

"Kalau bayar semula duit, maknanya apa? Kalau kamu seorang pelabur kamu akan kata apa?

"Itu bukan pelaburan, itu pinjaman," katanya mengenai projek yang dibangunkan kontraktor melalui pembiayai Export-Import Bank of China (Exim Bank).

Daim ditemui media selepas menghadiri sesi dialog tertutup anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Subang Jaya, Selangor hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya sama ada perlu wujud kebimbangan terhadap pelaburan yang dibawa China di Malaysia.

Selain ECRL, satu lagi projek yang mendapat pembabitan meluas Beijing ialah projek pembangunan petempatan mega Forest City di Johor Bahru.

Terdahulu Daim berkata beliau percaya rakyat Malaysia perlu bersatu untuk mencipta suasana lebih kondusif buat pelaburan asing sekali gus mengembangkan ekonomi negara.

"Saya baca beberapa laporan mengatakan ramai lepasan universiti sekarang ada masalah mendapatkan pekerjaan.

"Justeru kerajaan mesti memastikan hal ini ditangani segera," katanya.

Bulan lalu Kementerian Kewangan melalui jawapan di Dewan Rakyat memberitahu kos menyiapkan ECRL kekal pada RM55 bilion dan 85 peratus daripadanya dibiayai melalui pinjaman mudah dijamin kerajaan daripada Exim Bank.

[Baca berita penuh]