malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Latihan Polis PRU14: Kedah panas, rusuhan di Perak, Johor hangat
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 11:36 PM
Dikemaskini: 3:47 PM
ADS

Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini melakukan latihan simulasi besar-besaran di seluruh negara diberi nama Eksesais Undi Percubaan PRU14 bagi bersiap sedia menghadapi pilihanraya akan datang, lapor agensi berita tempatan.

Bernama melaporkan kontijen polis negeri Kedah, Perak, Terengganu dan Johor melakukan latihan tersebut yang bertujuan menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam berdepan pelbagai ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

Latihan di Kedah membabitkan seramai 432 anggota termasuk 108 pegawai dari kontinjen Kedah yang membabitkan lima fasa bermula 9 November lalu dan berakhir hari ini.

"Kita akan lakukan post mortem untuk mantapkan lagi kecekapan anggota kita kerana Kedah adalah antara negeri yang diramal 'panas', jadi kita perlu dedahkan anggota kita dengan persediaan ini untuk mereka berdepan dengan situasi di luar jangkaan nanti," kata Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff sebagaimana dipetik Bernama.

Menurut Asri dengan latihan yang diadakan ini, pihak polis dapat mengesan beberapa kelemahan pada peralatan dan alat telekomunikasi yang perlu diperbaiki segera supaya kejadian sama tidak berulang dalam keadaan yang sebenar.

Polis Kedah memerlukan kira-kira 400 anggota polis tambahan dari Bukit Aman, kata Asri bagi melancarkan lagi tugas anggota yang sedia ada sepanjang tempoh PRU-14, lapor Bernama.

Tujuh anggota cedera dalam rusuhan

Manakala di Ipoh, hampir 8,000 anggota polis Perak terlibat dalam latihan simulasi PRU14 itu. Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata latihan sekitar bandar raya Ipoh termasuk di Muzium Perak melibatkan proses pengundian dan penjumlahan undi serta pasca pilihan raya itu, lapor Bernama.

"Ini latihan peringkat pertama membabitkan lima fasa melibatkan proses pengundian dan penjumlahan undi serta pasca PRU14.

"Latihan ini akan berterusan sehingga PRU akan datang, mungkin dengan suntikan senario lebih ganas atau memperbaiki kelemahan yang ada," kata Hasnan.

Menurut laporan itu lagi, Hasnan berkata senario latihan juga melibatkan 150 penyokong politik membuat rusuhan di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas PRU14.

Dalam latihan simulasi itu, berlaku rusuhan yang mengakibatkan tujuh anggota polis tercedera dan 28 perusuh ditangkap kerana membaling pelbagai senjata tajam serta bom molotov, petik laporan itu.

Perintah berkurung

"Sekiranya keadaan tersebut tidak dapat dikawal saya sebagai Ketua Polis Perak tidak akan teragak-agak mengisytiharkan perintah berkurung di daerah ini," katanya.

Bernama melaporkan latihan itu turut menggunakan bom asap selain tembakan meriam air oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan perusuh.

Sementara itu, seramai 44 pegawai dan 450 anggota polis menjalani latihan itu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya juga sedang menunggu beberapa lagi keperluan lain termasuk peralatan pertahanan untuk digunakan semasa pilihan raya itu nanti, lapor Bernama.

"(Latihan ini) diadakan serentak di seluruh negara melibatkan semua unit PDRM bersama jabatan serta agensi berkaitan,” kata Aidi selepas sesi latihan itu di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak hari ini.

Johor paling hangat

Latihan itu bertujuan memberi gambaran kepada anggota dan orang awam akan situasi yang mungkin berlaku dalam tempoh kemuncak PRU14 bermula dari tarikh pembuangan undi hingga keputusan diumumkan, lapor Bernama.

Di selatan semenanjung pula, kontijen polis Johor selesai melakukan latihan simulasi percubaan PRU14 pada malam semalam, lapor agensi berita tempatan itu lagi.

Ia melibatkan seramai 400 pegawai dan anggota polis dari seluruh Johor membabitkan satu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersama Water Cannon Unit 2 Johor, satu unit pencegah rusuhan (PORU) dari Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam serta dua unit Pasukan Light Strike Force (LSF) IPD JBU, kata Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din sebagaimana dipetik Bernama.

“Kami ramalkan Johor adalah antara negeri yang paling ‘hangat’. Jadi, kami kena sentiasa bersiap sedia biarpun belum tahu perancangan setiap parti yang bertanding,” kata Kamarudin.

 


 

Lihat Komen