malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Miliki gambar, video IS, juruteknik dipenjara 42 bulan
ADS

Seorang juruteknik hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 29 imej dan tiga video berkaitan kumpulan pengganas IS, Mac lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Taufiq Abdul Latif, 27, berkata walaupun imej dan video yang disimpan itu adalah untuk tontonan sendiri tetapi ia tetap menjadi kesalahan.

Mahkamah memerintahkah tertuduh yang merupakan anak ketiga daripada tujuh adik beradik menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap, pada 15 Mac 2017.

Lelaki itu yang masih bujang didakwa memiliki 29 imej dan tiga video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbit mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di persimpangan masuk ke Taman Sri Gadong, Jalan Bawal, Klang, pada pukul 2.40 petang, 15 Mac lepas.

Hukuman setimpal

Terdahulu, Ahmad Taufiq yang diwakili peguam Azamuddin Abd Aziz memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman singkat atas alasan anak guamnya menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kes itu selain hukuman yang dijatuhkan bukan saja menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi sebagai amaran untuk orang awam.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan anggota polis menahan tertuduh sebelum merampas sebuah telefon bimbit berwarna hitam di dalam sebuah beg silang yang dibawa tertuduh.

Hasil analisis terhadap telefon bimbitnya terdapat 29 keping imej dan tiga buah video berkaitan IS.
 

-Bernama

Lihat Komen