malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MP: Isu Palestin cubaan Trump alih perhatian rakyat AS
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 9:02 PM
Dikemaskini: 1:11 PM
ADS

Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong membantah pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) dan berkata pengumuman Donald Trump itu akan menyebabkan ketegangan di wilayah tersebut.

"Baitulmaqdis milik warga Palestin dan merupakan tanah suci yang menempatkan Masjid Al-Aqsa.

"Kami berdiri bersama rakyat Palestin yang menjadi mangsa ketidakadilan antarabangsa," kata Ahli Parlimen Kluang itu.

Beliau berkata demikian di luar kedutaan Amerika Syarikat hari ini ketika menyertai demonstrasi solidariti isu Palestin.

"(Palestin) ini adalah isu yang bukan hanya melibatkan wilayah tertentu tapi juga adalah isu yang berkaitan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

"Tindakan pentabiran Trump sangat berbahaya," katanya.

Chin Tong mendakwa Trump mewujudkan ketegangan di Timur Tengah dengan tujuan mengalih perhatian warga Amerika yang memberi tekanan kepadanya.

"Trump disiasat oleh peguam khas Robert S. Mueller III berhubung kempen yang dibawanya dan pengaruh Rusia.

"Beliau boleh melakukan hal yang sama di Asia sekiranya kongres (AS) dilihat mencabar pentadbirannya," katanya sambil memberi contoh Korea Utara merupakan negara yang sensitif dengan provokasi negara kuasa besar dunia itu di rantau Asia.

Selepas solat Jumaat hari ini, Pakatan Harapan (HARAPAN) menganjurkan sebuah perhimpunan membantah dasar terbaru AS ke atas Palestin itu.

Lebih 500 hadirin berarak ke kedutaan AS.

 

Lihat Komen