malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Coca Cola: Kempen boikot jejas pekerja tempatan
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 5:07 PM
Dikemaskini: 10:32 AM
ADS

Pihak pengurusan syarikat Coca-Cola Malaysia menyelar kempen boikot terhadap produknya susulan dakwaan syarikat minuman itu menyokong Israel dalam isu konflik di timur tengah itu.

"Pihak kami telah menerima maklumat bahawa terdapat individu dan kumpulan tertentu yang meminta orang ramai memboikot Coca-Cola berikutan maklumat serta khabar angin yang salah mengenai perniagaan kami yang berlegar melalui media sosial di negara ini," kata Pengurus Negara Coca-Cola Malaysia, Ahmed Yehia.

Menurut Ahmed Coca-Cola merupakan jenama global tetapi operasi pengeluarannya dilasanakan para pekerja tempatan.

"Justeru, orang pertama yang akan terkesan dengan tindakan boikot ini adalah pekerja tempatan kami, diikuti ribuan peruncit, pengedar, pembekal dan mereka yang berkaitan di sepanjang rangkaian pengedaran kami yang bergantung hidup dengan kami sebagai punca pendapatan.

"The Coca-Cola Company beroperasi di lebih 200 negara dan wilayah di seluruh negara dengan masing-masing mengamalkan sistem politik dan agama yang berbeza, begitu juga dengan sejarah mereka," kata Ahmed dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Ahmed berkata matlamat syarikat itu hanya untuk menghidangkan minuman yang menyegarkan dan tidak berpihak kepada negara tertentu.

"Kami tidak menyokong atau membangkang sebarang perkara berkaitan agama juga tidak memihak kepada negara tertentu.

"Di Malaysia, sejarah kami bermula sejak lebih 81 tahun lalu dan kami sentiasa serta akan terus memberikan komitmen yang kukuh selain menyumbang kepada masyarakat," kata Ahmed lagi.

Selain minuman Coca-Cola, produk Starbuck dan restoran makanan segera McDonald turut menjadi sasaran kempen boikot barangan yang syarikat pengeluarnya didakwa menyokong Israel.

Terdapat bantahan meluas khususnya dikalangan umat Islam susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang memindahkan kedutaan negara itu ke Baitulmaqdis dari Tel Aviv baru-baru ini.

Presiden Turki Tayyip Erdogan (gambar, atas) yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak lebih 50 negara Islam di Istanbul, pada Rabu lalu berkata langkah AS itu bermakna Washington telah melepaskan peranannya sebagai broker dalam usaha untuk menamatkan konflik Israel-Palestin.

Pada 12 Disember lalu, media tempatan melaporkan NGO Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) menyeru rakyat Malaysia memboikot produk yang ada kaitan dengan Israel.

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, pihaknya telah mengenal pasti produk-produk keluaran Israel dan akan mencetak 100,000 risalah untuk diedarkan di seluruh negara bagi tujuan boikot itu.

“Sebelum ini kita pernah melakukan tindakan boikot produk-produk Israel semasa negara rejim itu menindas rakyat Palestin dan kesannya, ada beberapa syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka hampir gulung tikar," katanya.
 

 

Lihat Komen