malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Apakah Anwar restui Dr M jadi PM, soal Rizal
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 6:00 PM
Dikemaskini: 10:28 AM
ADS

Semua pihak masih tertunggu-tunggu apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pembantu khas kepada isteri perdana menteri Datuk Rizal Mansor membangkitkan soalan berkenaan apabila melihat ketua umum PKR itu mengambil sikap berdiam diri selepas lebih 10 hari pengumuman itu dibuat.

"Apakah Anwar sudah tahu mengenai rancangan Mahathir untuk melantik anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai PM selepas beliau mengisinya untuk setahun dua sahaja dengan Anwar akan dikira sudah begitu tua pada ketika itu.

"Apakah sikap menyepi Anwar itu juga menandakan keretakan yang semakin parah dalam Pakatan Harapan menjelang PRU14 setelah semua orang tahu DAP tidak lagi menyokong Anwar sebagai PM sebaliknya makin cenderung kepada Mahathir," soal Rizal dalam kenyataan hari ini.

Ketika pemukiman dua hari pada 1 dan 2 Disember lalu, HARAPAN memutuskan untuk melantik Mahathir sebagai perdana menteri manakala Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah sebagai timbalan sementara jika gabungan itu menang PRU14.

Namun, PKR mendakwa keputusan itu belum muktamad dan parti itu akan terus membincangkan perkara tersebut.

Anggota Biro Politik PKR Datuk Johari Abdul pula berkata cadangan itu masih menunggu kelulusan Anwar.

Mahathir kemudian dilapor berkata beliau boleh dicalonkan ke jawatan itu jika rakyat terdesak dan tiada lagi individu sesuai dijadikan calon.

Sebelum ini Anwar dinamakan sebagai calon perdana menteri pembangkang, namun kedudukannya yang masih ditahan di penjara tidak memungkinkan beliau dilantik ke jawatan itu serta-merta.

Ini kerana Anwar hanya dijangka dibebaskan pertengahan tahun depan dan undang-undang melarangnya memegang jawatan atau terlibat dalam politik selama lima tahun.

'DAP, BERSATU rebut jawatan menteri?'

Dalam pada itu, Rizal menimbulkan spekulasi bahawa DAP sedang 'bergasak' dengan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) untuk menamakan calon menteri di pelbagai kementerian.

Antaranya kata Rizal ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Untuk mengisi jawatan nombor satu negara pun dah kelam-kabut lagi berserabut, apatah lagi siapa yang akan mengepalai kementerian utama dalam kerajaan jika pakatan pembangkang menang nanti.

"Itu belum termasuk 'perebutan' yang bakal berlaku dalam kerusi ketua menteri Pulau Pinang jika Lim Guan Eng dimasukkan ke penjara dalam skandal banglonya.

"DAP nak pertahan (Lim) dan PKR sudah kemaruk nak menduduki kerusi tersebut," kata Rizal.

Lim kini menghadapi pertuduhan berkaitan kes rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan berkenaan.

Lihat Komen