malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu barang naik bukan tanggungjawab KPDNKK saja
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 5:09 PM
Dikemaskini: 9:16 AM
ADS

Menjadi sasaran kecaman dan sindirian hampir pada setiap kali isu kenaikan harga barang diperkatakan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah mengekang masalah itu bukan terletak di bawah kementeriannya saja.

Kata menteri yang mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu pihak lain yang berkaitan juga perlu mengambil tahu.

"Menteri lain juga perlu ambil tahu," katanya kepada kakitangan KPDNKK semasa menghadiri perhimpunan bulanan kementerian terbabit di Putrajaya hari ini.

Isu harga barang dan kos sara hidup naik menjadi antara topik yang banyak diperkatakan orang ramai serta tokoh terkemuka.

Selepas sejumlah artis bersuara mengenainya - dan mereka pula kemudian ditempelak sesetengah ahli politik dan pegawai kanan kerajaan - pemimpin akar umbi Umno turut menyentuh mengenainya.

Dalam Perhimpunan Agung Umno ke-71 minggu lalu pembahas usul yang dibentangkan menganggap isu kenaikan harga barang boleh menjadi bom jangka yang mampu memudaratkan parti terbabit.

Malah perwakilan dari Pulau Pinang menegaskan kesulitan itu bukan saja dialami orang ramai, malah anggota Umno sendiri.

Tubuh majlis kaji masalah

Semasa menggulung perbahasan di hari terakhir persidangan Hamzah menjelaskan masalah kenaikan harga barang sudah ada sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Beliau kemudian membacakan sepotong hadis yang mengceritakan keadaan yang berlaku pada zaman Rasulullah itu.

Bagaimanapun jawaban berkenaan dipersendakan banyak pihak. Beliau kemudian mendakwa kenyataan itu diputar belit sesetengah media.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula mengingatkan wartawan, parti terbabit akan mendakwa sesiapa yang bertanggungjawab menyelewengkan kenyataan Hamzah itu di akhirat.

Menurut Hamzah hari ini asalkan isu kos sara hidup dibangkitkan orang ramai hanya melihat kepada KPDNKK saja.

"Kalau ada isu cost of living saja, semua orang pandang saya. Saya juga yang kena jawab," katanya.

Menurut anggota parlimen Larut itu tidak adil untuk beliau sendirian menanggung 'beban' berkenaan.

Katanya ada pihak lain seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga perlu memikirkan tanggungjawab bersama menangani isu berkenaan.

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis berkenaan Hamzah memberitahu sebuah majlis akan ditubuhkan bagi meneliti isu kenaikan kos sara hidup semasa.

Katanya majlis terbabit akan dianggotai banyak pihak termasuk pakar dari pelbagai bidang serta wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Lihat Komen