malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Selepas 'awak cakap banyak' MB setuju selesai isu tanah
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 1:21 PM
Dikemaskini: 6:01 AM
ADS

Kerajaan Pahang bersetuju menyelesaikan masalah pemilikan tanah sekumpulan penduduk Cameron Highlands selewat-lewatnya Mac tahun depan, kata Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands Suresh Kumar.

Beliau berkata, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob membuat komitmen itu dalam satu pertemuan dengan penduduk tersebut, di pejabatnya semalam.

"Menteri besar bersetuju dengan rangka masa untuk menyelesaikan masalah keluarga ini. Mac 2018 dijadikan sasaran untuk masalah diselesaikan.

"Pengerusi MIC Pahang Datuk R Goonasekaran diberikan tanggungjawab mengendalikan isu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suresh (gambar) bagaimanapun tiada ketika Adnan menyatakan komitmen itu, kerana menurutnya Adnan hanya mahu meneruskan pertemuan tanpa penyertaannya.

ADS

Dua hari lalu, ketika sejumlah 20 penduduk, antaranya penternak dan petani kecil, ke pejabat menteri besar untuk bertemu Adnan, Adnan dilaporkan menjadi berang dan mengarahkan mereka pulang.

Dalam keratan video yang dimuatnaik PSM di Facebook, Adnan dilihat berkata, "Kalau 40 tahun boleh tunggu, 10 tahun tak boleh tunggu?"

"Awak punya banyak cakap, sila balik. OK, bye bye, vanakam, nandri," kata Adnan.

Namun Suresh yang juga setiausaha Jawatankuasa Tanah, Rumah dan Gerai PSM berkata, mereka memutuskan untuk bermalam di sana, sebelum diundang untuk bertemu semula dengan Adnan semalam.

"Syarat yang dikenakan sama, iaitu saya tak boleh ikut dan saya bersetuju. Saya yakin penduduk boleh menguruskan mesyuarat itu tanpa kehadiran saya," katanya lagi.

Pada 2012 Suresh pernah mengetuai sekumpulan penduduk Cameron Highlands untuk bertemu Adnan di pejabat beliau.

Ia bagaimanapun tidak berakhir seperti diharapkan apabila 31 daripada penduduk terbabit ditahan polis.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen