malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB nafi tangkapan SPRM isu pembalakan haram T'ganu
ADS

Kerajaan negeri Terengganu menafikan adanya tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pihak yang didakwa terlibat dalam isu pembalakan haram dan pencerobohan hutan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sebaliknya SPRM hanya menjalankan siasatan terhadap pihak yang ditahan selepas penguatkuasaan yang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri.

"Saya sendiri tidak tahu (bahawa SPRM ada membuat tangkapan). Malah kerajaan negeri telah memberi arahan kepada SPRM termasuk agensi-agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu Jabatan Hutan dalam penguatkuasaan kerana mereka tidak cukup kakitangan.

"Alhamdulilah, kebelakangan ini banyak tangkapan yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri dan mereka begitu agresif menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan pencerobohan hutan negeri ini terus dapat dielakkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi bahas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhenti rehat di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Siasatan, bukan tangkapan

Terdahulu ketika sesi bahas Bajet 2018 Terengganu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail mendakwa SPRM membuat tangkapan berhubung isu pembalakan haram di Dungun menerusi laporan sebuah media elektronik pada tahun lalu dan awal tahun ini.

Ahmad Razif kemudiannya bangun dan menafikan hal tersebut kerana SPRM hanya terlibat dalam proses siasatan dan tangkapan dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri menerusi penguatkuasaan yang dijalankan bersama PDRM.

"Saya nak betulkan yang tangkapan dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Jadi tidak ada penglibatan daripada SPRM. Saya nak betulkan kenyataan itu sebab ia akan beri imej yang tidak baik kepada Jabatan Perhutanan Negeri," katanya.

Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN-Kuala Berang) kemudian bangun dan meminta Azan menarik balik kenyataan beliau kerana ia tidak tepat dan Azan berkata beliau akan menarik balik kenyataan itu esok selepas melihat semula laporan media tersebut atas alasan beliau sedang berbahas.

Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong turut menasihatkan Azan supaya turut berbuat demikian agar tiada penyelewengan fakta berlaku kerana ia boleh menjadi satu fitnah.

Azan kemudian menarik balik kenyataan itu dan menukar perkataan 'tangkapan' kepada ‘siasatan’ dengan alasan beliau tersilap sebut.

 

-Bernama

Lihat Komen