malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

SATIRA | Aku nak kongsi satu cerita.

Semalam aku mengidam nak makan ayam masak merah, jadi aku pun ke sebuah warung – aku ambil nasi putih, seketul ayam masak merah dan timun. Itu saja yang aku jamah, tapi harganya, mak oi, mencecah RM6.50!

Ini yang buat aku meluat - duit yang masuk poket tak naik-naik, tapi segala macam harga barangan di sekeliling, naik. Apatah lagi masa harga minyak naik, amboi berpakatlah harga semua barang naik sekali.  Tapi apabila harga minyak turun, yang lainnya kekal tak turun-turun.

Di tengah-tengah rasa marah, aku pun beratur untuk membayar bil. Aku belek-belek telefon aku sampailah ternampak kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno mengenai harga barangan yang mahal.

Menurut dia yang kebetulannya Menteri Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, barang yang melambung naik ada sejak zaman Nabi Muhammad dan umat Islam sebaik-baiknya terima sahaja. Jangan banyak songeh.

Istighfar banyak-banyak

Dia kata, inilah yang diriwayatkan junjungan besar kita, Muhammad.

“Allah - Dialah yang menetapkan harga; Dialah Allah yang melapangkan; Dialah Allah yang menyempitkan; Dialah Allah yang memberi rezeki.”

Sebaik habis membaca, aku rasa seolah-olah mendapat hidayah. Rasa sesal menebal di dada sebab terlalu banyak merungut. Aku beristighfar banyak-banyak.

Alhamdulillah.

Selesai menjelaskan bayaran kepada wanita bertudung litup tetapi berbaju sendat – aku ingat dia nak bertukar jadi Incredible Hulk – aku pun beredar dan ke kedai runcit Ah Seng yan tak jauh dari warung itu.

Uncle Seng, bawang merah ada?” aku bertanya.

"Ada," katanya sambil menuding jari ke luar kedai.

Aku pun memilih bawang yang elok untuk dibeli. Namun kebanyakannya kurang elok – ada yang lembik dan sudah berbau.

Ini tak boleh jadi.

"Uncle, bawang ni rosaklah. Yang elok sikit ada?"

"Itu saja ada. Nanti you kupaslah buang kulit rosak,” jawabnya ringkas sambil melayan pelanggan yang lain.

"Kalau macam tu, kasi murahlah. RM5 sekilo mahal sangat,” aku cuba menawar.

Uncle Seng yang berperut boroi senyum meleret. “Ini memang sudah murah. Lu mau murah lagi, kasi tanam sendirilah.”

Kurang asam betul...

Tapi nasib baik aku cepat-cepat teringat akan hidayah yang baru aku peroleh.

“Segalanya ketentuan Allah. Bawang merah mahal pun sebab ketentuan Allah. Bawang merah rosak pun sebab ketentuan Allah. Alhamdulillah,” bisik aku dalam hati.

#donedakwah

Dalam perjalanan pulang sambil membawa sebungkus bawang merah yang berbau busuk, aku terima satu pesanan WhatsApp daripada seorang rakan.

Dia menggesa aku untuk membantah pengiktirafan Presiden Donald Trump menjulang Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Beb, keluarga serta kawan aku dah sebulat suara nak boikot Mekdee dan jenama lain yang sokong Amerika dan Israel. Join sekali, OK?” katanya.

Aku berhenti di bahu jalan untuk membalas mesejnya.

“Jangan boikot. Apa yang terjadi di Palestin adalah ketentuan Allah. Sikap kejam Israel itu juga ketentuan Allah. Bahkan keputusan Trump juga merupakan ketentuan Allah. Biarkan saja. Lebih afdal begitu.”

Alhamdulillah. Hati aku terasa tenang sekali.

Sampai sahaja di rumah, mak membuka pintu pagar sambil terkumat-kamit memarahi anjing jiran kami yang berak di depan rumah.

“Sabar mak. Ini bukan salah jiran atau anjing. Ini semua ketentuan Allah,” kataku.

Di ruang tamu, ayah sedang menonton Perhimpunan Agung Umno.

Menyedari aku di situ, ayah bersuara. “Semua delegasi ni asyik cakap pasal agama dan bangsa saja. Tak ada seorang berani tanya ketua mereka pasal 1MDB dan RM2.6 bilion.”

“Pa,” aku pula bersuara, “1MDB dan perihal RM2.6 bilion itu ketentuan Allah. Bukan itu sahaja, korupsi, penyelewengan, salah guna kuasa dan jenayah pun ketentuan Allah. Terimalah semuanya dengan hati terbuka.”

Ayah melopong mendengar pesanan azimat itu. Aku pun bergerak ke dapur untuk menyimpan bawang merah yang baru dibeli. Ayah dan mak perlahan-lahan mengekori.

Ah sudah...

“Apa kena dengan kamu ni?” tanya mak mencebik.

Aku pun menerangkan kepada mereka tentang hidayah yang baru sahaja diperoleh.

“Kalau semuanya ketentuan Allah, buat apa kita perlukan menteri untuk mengurus negara?” tanya ayah.

“Pa, reda sajalah. Kita dapat menteri-menteri ini pun dek kerana ketentuan Allah juga,” balasku.

“Bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Bagaimana ketua, begitulah pengikutnya,” mak bermadah dalam geram.

“Relaks Nisha. Apa guna marah-marah. Semuanya ketentuan Allah,” kata ayah pula sambil tersenyum sumbing.

“Kalau macam tu, pembangkang yang semakin banyak sokongan pun pastinya ketentuan Allah juga,” kata mak pula, masih mencebik.

“Mestilah, dulu sebelum pilihan raya 1990, pembangkang hanya dapat 27 kerusi parlimen. Pada pilihan raya 2013 pula naik jadi 89 kerusi. Kalau itu bukan ketentuan Allah, tak tahulah saya ketentuan siapa lagi,” kata ayah.

Betapa gembiranya aku melihat ayah dan mak juga mendapat hidayah sepertiku.

Ah...pastinya ini juga ketentuan Allah.

Tidak lama kemudian, sambil mengupas bawang aku bertanya kepada mak, “Malam nanti mak nak masak apa?”

Mak menggeleng kepala. “Malam ini mak tak masak”.

“Kenapa pula?” tanya aku dan ayah, serentak.

“Kententuan Allahlah,” jawab mak dengan muka selamba.


FA ABDUL ialah kolumnis Malaysiakini edisi bahasa Inggeris.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen