malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi: PAS pernah sertai BN dengan syarat Islam
Diterbitkan:  Dec 9, 2017 5:26 PM
Dikemaskini: 9:37 AM
ADS

PAS pernah menyertai kerajaan campuran dan Barisan Nasional (BN) dengan syarat yang tegas supaya dasar dan perjuangan Islamnya tidak diganggu, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata syarat itu juga meletakkan agar PAS diberikan peluang untuk berdakwah dan menerapkan Islam dalam jentera dan institusi kerajaan.

"Akhirnya PAS dikeluarkan daripada BN pada tahun 1979 apabila kumpulan sekular kuat menguasai Umno dan BN selepas ketiadaan Almarhum Tun Abdul Razak, menyebabkan disingkir beberapa pemimpin yang bersemangat agama di dalam Umno di semenanjung seperti Tan Sri Jaafar Albar, Datuk Harun Idris dan disingkir pemimpin BN di Malaysia Timur seperti Tun Abdul Rahman Yaakub dan Tun Datu Mustafa serta diikuti PAS ditendang keluar," katanya.

Abdul Hadi berkata PAS juga meletakkan syarat Islam sebagai al-Din apabila parti itu menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 sehingga gabungan itu menang di Kelantan.

Katanya, gabungan itu berusaha melaksanakan syariat namun diberi amaran keras oleh perdana menteri pada masa itu menyebabkan Semangat 46 kemudiannya terkubur.

"Kemudiannya PAS menyertai Barisan Alternatif (BA) dalam titik persamaan menentang penyelewengan dan salah laku tanpa gangguan terhadap Islam yang menjadi pegangan PAS, namun tetap tegas walaupun DAP keluar daripada BA kerana anti Islamnya.

"Seterusnya Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan dan akhirnya terkubur apabila hendak dipinggirkan cita-cita Islam dan wujudnya usaha mahu menggugurkannya kerana agenda politik mengatasi kepentingan Islam," katanya menerusi tulisan disiarkan oleh portal rasmi PAS, Harakahdaily.

Tolak usaha pinggir kuasa Islam

Menurutnya, PAS menolak segala usaha meminggirkan kuasa umat Islam daripada persada politik Malaysia menerusi konsep Malaysian Malaysia yang diperkenalkan DAP, namun tetap menerima hakikat masyarakat majmuk di Malaysia.

"PAS dengan tegas mendukung konsep Islam itu adil terhadap semua tanpa mengira perbezaan agama dan kaum yang berpandukan al-Quran," kata beliau.

Mengulang semula pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) Abdul Hadi menegaskan PAS tetap menunggu sesiapa sahaja yang boleh menerima Islam yang menjadi perjuangan parti itu.

Anggota Parlimen Marang itu turut menyatakan bahawa PAS tetap mempertahankan ruang Islam yang masih dipelihara oleh Perlembagaan dengan tafsiran Islam sebagai agama persekutuan.

"PAS menentang sesiapa sahaja yang mahu merungkaikannya dan menafsirkannya dalam lingkungan kefahaman warisan penjajah kerana kita sudah merdeka, tidak kira sama ada dalam kalangan Melayu yang sempit atau bukan Melayu.

"PAS adalah parti Islam yang berasaskan aqidah, bukannya semata-mata ideologi sekularisme, protesme dan oportunisme," katanya lagi.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen