malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hamzah: Isu barang naik ada sejak zaman nabi
ADS

PAU2017 | Berlandaskan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjelaskan isu harga barang naik ini bukanlah masalah baru.

Kata Datuk Seri Hamzah Zainudin, isu berkenaan sudah berlaku sejak zaman Rasulullah lagi malah ada hadis yang menjelaskan suasana itu.

Membacakan terjemahan hadis diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas bil Malik, Hamzah menjelaskan ada sahabat meminta Rasulullah menetapkan harga barangan untuk mereka.

"Maka baginda menjawab: Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, menyempit, meluaskan dan memberi rezeki. Sesungguhnya aku benar-benar berharap untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun yang menuntut kepadaku berkenaan sesuatu kezaliman pada darah dan harta.

"Ini menunjukkan apa yang dilakukan oleh kerajaan, pemimpin besar kita sekarang adalah sesuatu yang menyamai apa dituntut oleh Rasulullah iaitu tidak mencampuri hak pasaran bebas dalam negara kita," katanya semasa ucapan penggulungan di hari terakhir PAU di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Hamzah mengulas mengenai rungutan kenaikan kos sara hidup yang dibangkitkan pewakilan sejak persidangan tahunan Umno berlangsung Khamis lalu.

Berjihad perangi orang tamak

Salah seorang pembahas malah menegaskan kesempitan hidup akibat kenaikan harga barang turut dialami anggota Umno sendiri.

Isu kenaikan kos sara hidup lebih menjadi perhatian apabila ia turut disentuh tokoh yang berada di luar PWTC, termasuk Ratu Jazz Datuk Sheila Majid.

Kata Hamzah dalam keadaan begitu pun kerajaan bersetuju agar harga barangan keperluan asas dikawal supaya tidak dinaikkan sesuai dengan sikap prihatin dan keadilan yang dituntut Islam.

"Barang keperluan yang saya maksudkan ialah gula, tepung, minyak masak, beras dan gas memasak.

"Ini adalah kerana presiden Umno berasakan bahawa untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan keadilan untuk seluruh negara, kita mampu memberikan subsidi melalui barangan keperluan asas," katanya.

Setakat ini kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu kerajaan membelanjakan sebanyak RM2 bilion setahun bagi membiayai subsidi berkenaan.

Bagi barangan basa seperti ikan, ayam, sayur dan daging, kata Hamzah, kerajaan bersetuju "memerangi" orang tengah yang tamak dan rakus melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi yang berkaitan dengannya.

"Kita akan berjuang dan berjihad untuk memerangi mereka ini," katanya.

Lihat Komen