PAU2017 | Bersemangat benar nampaknya perwakilan dan pemerhati - juga peniaga - bertepuk tangan mendengar ucapan dasar presiden Umno yang bergema di celah-celah coklat berwajah Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Manakan tidak. Perdana menteri itu menyampaikan ucapan bertajuk Pelaksana Wasiat Pusaka, Harapan Sejati Kesejahteraan Negara Bangsa itu dengan amat baik sekali.
Beliau ialah lelaki macho yang diperlukan oleh Umno untuk mengepalai bala tentera parti berdepan dengan cabaran pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Mandat yang dimiliki BN melalui PRU ke-13 lalu akan berakhir Jun ini. Biasanya parlimen akan dibubarkan sebelum tarikh berkenaan.
Banyak orang menjangkakan parlimen dibubarkan selepas kedatangan tahun anjing - mengikut kalendar Cina - tahun depan.

Maka dapat difahami mengapa Najib begitu bersemangat menyampaikan ucapan dan amanatnya kepada lebih 30,000 orang (mengikut kata beliau sendiri) yang berada di sekitar PWTC semalam.
Tiada air orang tayamum,
tayamum itu debu dan tanah;
ketua memimpin ahlinya makmum,
barulah Umno mendapat berkah.
Menghayati ucapan penuh kejantanan Najib semalam, 32 juta umat Malaysia diingatkan tentang musuh sebenar mereka. Ada yang disebutkan beliau secara langsung, tapi ada juga yang terselindung di sebalik ungkapan madah.
Hadapi petualang bangsa
Ia adalah beban yang terganggung di dua pundak beliau.
Yang terutama - berdasarkan kepada ucapan dasar itu - nampaknya ialah Tun Dr Mahathir sendiri.
Dr Mahathir - juga berdasarkan kepada ucapan Najib - kini bukan lagi bertaraf negarawan. Kali ini dewan yang pernah bersipongang dengan suara Dr Mahathir bergema pula dengan sindiran serta kritikan untuknya. Ada:
- Mamak Malabari dan Kerala
- Usia senja meniti malam
- Seangkatan dengan Robert Mugabe
- Ungkapan Melayu mudah lupa diulang semula
- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dirujuk sebagai parti bunga raya atau kembang sepatu
- Kehilangan RM31 bilion dalam skandal forex
- Daripada negarawan kini digelar "bapa segala tol"
- Matlamat perjuangan hanya untuk memenuhi tembolok agenda kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata.
Itu pun sebenarnya Najib tidak meluahkan sepenuh kemarahannya. Dipercayai kemarahan beliau - dan Umno - jauh lebih mendalam.
Marah Najib marah berlapik, tikaman beliau menusuk tajam. Sayangnya tiada kata-kata "kepala bapak kau" terhambur dari mulutnya itu. Jika tidak, lengkaplah penampilan seorang perdana menteri macho mengemudi bahtera Umno menghadapi 'petualang bangsa'.
Selain itu DAP juga menjadi sasaran presiden Umno.

DAP, kata Najib, ialah sebuah parti yang ditadbir secara dinasti anak-beranak. Ia dapat difahami dengan mudah kerana menurut beliau walaupun menggunakan perkataan demokrasi pada parti itu, amalan berkenaan tidak dipraktikkan.
Hatta, katanya, dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pun, hanya 54 peratus saja yang hadir.
"Mudah kata, kalau nak menguruskan hal ehwal mesyuarat pun gagal, lagu (macam) mana nak uruskan negara?" katanya.
Selain itu antara perkara DAP yang disentuh dengan ranggi oleh Najib ialah:
- DAP terang-terang parti anti-Melayu dan Islam
- Dalam perlembagaannya langsung tidak menyebut Islam sebagai agama persekutuan
- Matlamat DAP mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular sepenuhnya
- Mengetuai hampir semua anggota parlimen pembangkang di Dewan Rakyat mahu menolak Belanjawan 2018
- Menggelar DAP tidak mengenang budi, seperti 'susu diberi tuba jadi balasan'.
Dengan segala hujah itu sesiapa yang mendengar ucapan beliau wajib merinding tegak bulu roma masing-masing. Mana-mana lelaki yang tidak rasa bersemangat, maka sahlah dia bukanlah lelaki yang macho.
Kemudian untuk melengkapkan lagi agenda gerakan Umno menghadapi PRU ke-14, Najib turut memberi isyarat bahawa PKR juga wajar diwaspadai.
Jual beli pantun
Selain menyentuh beberapa dasar yang dilaksanakan kerajaan Selangor dan dasar mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemimpin utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak diabaikan.
Cuma kali ini kecaman Najib untuk Anwar agak 'manja' sedikit berbanding cara beliau mengecam Dr Mahathir dan PKR.
Pada suatu ketika Najib merujuk Anwar sebagai "saudara" saja, tapi jangan salah faham. Nakalnya tetap ada.
Menceritakan pengalamannya menziarahi bekas bosnya semasa zaman pemuda dulu, Najib berkata - dan menekankan dengan jelas - bahawa beliau "melawat" Anwar di hospital bersama isteri.

Untuk rekod Anwar baru menjalani pembedahan bahu dan masih dalam proses pemulihan.
Namun Najib kecewa kerana lawatan berkenaan diperli Anwar dengan pantun:
Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan;
ziarah kami antara nampak,
esok pilihan raya lawan tetap lawan.
Justeru sebagai anak jantan presiden Umno itu 'membeli' pantun Anwar:
Burung merpati terbang sekawan,
hinggap seekor di atas dahan;
kita sahut ‘lawan tetap lawan’,
di pilihan raya bertarunglah seperti anak jantan.
Tidak seperti selalu, satu lagi parti pembangkang yang besar jumlah anggota dan pengaruhnya di rantau ini - PAS - kurang mendapat perhatian Najib.
Lebih menarik, beliau menggunakan parti itu untuk menekankan hala tuju Umno mengenali musuh mereka pada ketika ini.

Dalam parti pembangkang - kata Najib yang jelas merujuk kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) - sekarang ada empat nakhoda sekali gus, iaitu ketua umum, pengerusi, presiden dan penasihat.
Justeru, kata Najib, tepat benarlah PAS mendakwa ada pemimpin "penyangak" dalam HARAPAN.
"Ini bukan kita yang kata. Kerana parti PAS pernah bergabung dengan PKR dan DAP, maka tentu sekali mereka lebih tahu siapa penyangak, dan siapa sebenarnya pemimpin sejati," katanya.
Pertanyaan amat penting
Sila beri perhatian - perdana menteri menghantar isyarat yang sangat jelas: PAS mengenal siapa penyangak dan siapa pemimpin sejati.
Namun jangan pula Umno berlapang dada begitu saja. PAS - walaupun tidak dinyatakan secara terus terang oleh Najib - tetap musuh Umno.
"Saudara-saudari, pendirian kita amat jelas iaitu hubungan kita dengan mereka (PAS) adalah terasas demi kepentingan ummah sekali pun pandangan politik tetap berbeza," katanya.
Suatu perkara lagi yang menarik dalam ucapan dasar presiden semalam ialah bagaimana Najib menggunakan kemahirannya memilih diksi Arab dan setiap satu patah perkataan itu terzahir dengan lidah yang lembut serta fasih beliau.
Dengarkan bagaimana sedapnya perdana menteri melafazkan kata-kata seperti maqasid syariah dan wasatiyyah itu. Belum lagi diambil kira ungkapan seperti dhoruriyat, haajiyat, tahsiniyat dan tawazun itu.

Tidak ketinggalan perkataan seperti walak, tabayyun, ukhuwah, ukhrawi dan istiqamah. Beliau juga bercakap tentang jihad.
Ia seakan suatu proses simbiosis yang sangat semulajadi dan meyakinkan.
Disertakan beberapa kali laungan takbir, silap-silap gaya ada antara 5,628 perwakilan dari 191 bahagian Umno di seluruh negara itu mungkin cuak dan terpaksa melihat sekeliling bagi memastikan mereka benar-benar berada dalam Dewan Merdeka PWTC, bukannya di Markaz Tarbiyah di Taman Melewar.
Akhirnya seluruh anggota Umno perlu menjawab soalan ditanya presiden mereka:
"Dengar baik-baik saudara-saudariku panglima-panglima, wirawati-wirawati serta para hulubalang bangsa dan agama.
"Seandainya hari ini ditiupkan semboyan, seraya dipalu genderang perang, saya mahu bertanya apakah kita semua sudah bersediakah kita untuk ke medan juang?"
Jadi tepuk dada dan tanya selera. Jika mahu boleh saja bertanya kepada Azwan Ali, tapi jangan Fathia Latiff atau Datuk Sheila Majid pula.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

