malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Berkuasa 1,000 tahun gambarkan pemikiran maharaja'
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 5:53 PM
Dikemaskini: 10:06 AM
ADS

Sehari selepas Ketua Wanita Umno Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil mengurniakan gelaran "Maharaja" kepadanya, Lim Kit Siang hari ini menyerahkan "mahkota" itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas kenyataan Najib bahawa Umno akan memerintah negara 1,000 tahun lagi, Lim berkata kenyataan itu tidak akan dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang demokratik.

"Tapi ini pemikiran maharaja, atau mahu jadi maharaja," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Veteran DAP berkata seorang pemimpin demokratik menerima prinsip bahawa rakyat akan menentukan parti politik yang mereka kehendaki.

"Pengundi tidak diancam dengan huru-hara, kekacauan atau apa jua kesan yang mengerikan jika mereka mengundi untuk mengubah kerajaan, dan tidak akan ada pemerintah atau pemimpin parti yang bangga memerintah negara selama seribu tahun," tambahnya.

Lim juga mengingatkan presiden Umno bahawa pemimpin Nazi Adolf Hitler juga bercita-cita memerintah selama 1,000 tahun tetapi pemerintahannya runtuh selepas 12 tahun berkuasa.

"Saya tertanya-tanya sama ada Najib akan memanggil Hitler seorang demokrat?" soal beliau.

Najib dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pagi ini menyatakan keyakinan bahawa Umno akan memerintah negara untuk jangka masa panjang.

"Kalau sebeginilah petanda dan semangat yang dizahirkan orang Umno, saya yakin dan penuh percaya bahawa Umno akan terus hidup memimpin bukan sekadar 30 tahun mendatang, malah bagi tempoh 1,000 tahun lagi" tegasnya.

Sama seperti ucapan Datuk Seri Shahrizat Jalil (gambar) semalam, ucapan presiden Umno itu juga memberi amaran kepada pengundi mengenai pembangkang terutamanya DAP sekiranya mereka berkuasa.

Ketua Wanita Umno itu berkata rakyat pada pilihan raya akan datang hanya memiliki pilihan sama ada memilih pemimpin dengan "rekod yang baik" seperti Najib atau "Maharaja Lim".

Najib pula berkata pengundi hanya ada pilihan untuk memilih masa depan yang cerah di bawah BN atau "memilih jalan yang suram dan samar di bawah dinasti DAP".

Bagaimanapun, Lim berkata pilihan raya akan datang merupakan satu ujian penting sama ada Malaysia mampu menjadi sebuah negara demokratik.

"Adakah Najib bersedia untuk membuktikan bahawa dia adalah seorang demokrat dengan menyatakan bahawa dia akan menerima keputusan demokratik rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 dan secara aman akan menyerahkan kuasa jika ini adalah keputusan pengundi Malaysia," soalnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen