malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan: Jangan sebar fitnah, fikir sebelum tular
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan kempen Perangi Fitnah Media Sosial untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan kesan-kesan penularan berita palsu terhadap sosial, ekonomi dan keselamatan negara.

Kempen anjuran Biro IT Umno itu merupakan satu usaha untuk menghentikan penyebaran sebarang fitnah terhadap individu, pemimpin, kerajaan, kementerian, agensi, badan bukan kerajaan dan lain-lain.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengerusi Biro IT Umno Datuk Ahmad Maslan.

Pada majlis di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra itu malam ini, Najib, yang juga Presiden Umno, turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan infografik dan videografi Bahagian Umno.

Umno Bahagian Lembah Pantai muncul johan dengan membawa pulang wang tunai RM2,500, sebuah komputer riba, piala dan sijil manakala naib juara jatuh kepada Umno Bahagian Kota Kinabalu dan tempat ketiga dimenangi Kuala Terengganu.

Tidak pasti jangan kongsi, semak

Najib juga menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Jumlah AJK dan Ahli WhatsApp Biro IT Bahagian Teramai yang mana johan dimenangi Umno Bahagian Pengkalan Chepa dan membawa pulang wang tunai RM2,500, komputer riba dan sijil. Naib johan pula dimenangi Umno Bahagian Kota Marudu dan tempat ketiga dimenangi Umno Bahagian Ranau.

Sementara itu, Ahmad Maslan menyaran masyarakat agar tidak mudah berkongsi apabila menerima berita yang diragui kebenarannya.

Beliau berkata fitnah ialah satu perkara yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan.

“Kesan itu boleh menyebabkan permusuhan, pertelagahan dan hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

“Ungkapan peringatan ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’, ‘Semak sebelum Sebar’ dan ‘Fikir Sebelum Tular’ bagi memelihara dan mengekalkan suasana kondusif, harmoni dan sejahtera dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad berkata mangsa fitnah media sosial perlu tahu hak mereka dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Menurutnya, jumlah aduan penyalahgunaan media sosial yang diterima MCMC sehingga September tahun ini adalah sebanyak 4,702 kes.

 

-Bernama

Lihat Komen