malaysiakini logo
story-image
ADS

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan dilihat sebagai "jaguh kampung" jika beliau gagal membuat aduan rasmi terhadap peguam negara Amerika Syarikat Jeff Sessions, kata peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla.

Ia selepas Sessions menggelarkan skandal 1MDB sebagai "kleptokrasi paling teruk" dalam ucapannya di Global Forum Global on Asset Recovery di Washington DC, dua hari lalu.

Peguam kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, Apandi perlu membuat aduan rasmi kepada kedutaan AS di Kuala Lumpur dan menuntut permohonan maaf bagi pihak negara.

"Pada masa sama, Apandi juga patut melantik peguam di AS untuk mencelah dalam proses perundangan dalam perampasan aset di sana jika dakwaan Sessions tidak benar, dan menunjukkan bukti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam skandal itu.

"Jika Apandi gagal berbuat demikian, beliau akan dilihat seabgai 'jaguh kampung' dan 'pengecut antarabangsa'," kata Haniff (gambar) lagi.

Dalam acara itu, Sessions berkata hampir separuh daripada AS$3.5 bilion (RM14.2 bilion) kutipan rasuah yang dirampas kerajaan AS adalah daripada kes saman sivil terhadap aset berkaitan 1MDB di negara itu.

Beliau mendakwa "pegawai yang rasuah dan sekutu mereka" dilaporkan menggunakan dana 1MDB untuk "perbelanjaan mewah" seperti AS$200 juta untuk hartanah di California Selatan dan New York, AS$ 130 juta dalam karya seni, AS$100 juta untuk muzik dan kapal layar AS$ 265 juta.

Hanif berkata lagi, Najib atau Apandi sebelum ini hanya membuat penafian terhadap dakwaan tersebut, tanpa memberikan respons yang terperinci dan rasional.

Maka dengan dakwaan yang dibuat Sessions ini, beliau berkata Apandi perlu membuat penafian dengan tindakan yang sepatutnya.

Pada Januari 2016, Apandi telah membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan.

Pada 1 Ogos tahun yang sama pula, Apandi berkata beliau sedang menimbang untuk menghantar wakil atau pergi sendiri ke AS sebagai pemerhati prosiding saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Pejabat Peguam Negara tiada rancangan menghantar peguam pemerhati, dan kerajaan menghormati hak DOJ untuk memulakan prosiding perundangan mereka.

Lihat Komen