malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Saya terpanggil untuk memberi maklum balas berhubung kaji selidik bebas yang dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) yang menunjukkan 84 peratus responden berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar.

Difahamkan purata harian penumpang di semua laluan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017 menyaksikan peningkatan sebanyak 12 peratus daripada 570,021 kepada 638,605 penumpang pengangkutan awam.

Bagaimanapun, mengambil kira tempoh dua tahun kebelakangan ini, sukar untuk kita mempercayai kaji selidik Spad itu.

Hal ini adalah kerana setiap hari banyak pengguna pengangkutan awam masih merungut ekoran pelbagai masalah yang dihadapi berkenaan dengan masa perjalanan dan masalah teknikal.

Ini dapat dibuktikan dengan beribu aduan yang telah dibuat oleh pengguna terhadap Spad berhubung pengangkutan awam terutamanya untuk perkhidmatan tren komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Antaranya, mangsa kelewatan tren memberitahu bahawa masalah tersebut terus berulang dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilihat tidak mengambil tindakan ke atas rungutan pengguna.

Lebih menyedihkan apabila pernah berlaku kelewatan perjalanan pengangkutan awam itu hampir 4 jam.

Sementara itu, kadar tambang juga tidak sejajar dengan mutu perkhidmatan yang masih di tahap tidak memuaskan.

Nampaknya, perkhidmatan komuter induk yang meliputi jajaran 150 kilometer di Lembah Klang dan membawa kira-kira 80, 000 penumpang setiap hari, masih mengalami pelbagai masalah.

Lebih RM1 bilion dibelanjakan kerajaan bagi meningkat kualiti perkhidmatan Komuter melalui projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Kelang (KVDT).

Bagaimanapun, kebolehpercayaan orang awam terhadap perkhidmatan KTM Komuter masih di tahap yang rendah.

Dalam isu pengangkutan awam ini, Najib diingatkan untuk tidak berbangga secara berlebih-lebihan atas perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) dan jangan ingat boleh menutupi kelemahan sistem pengangkutan awam yang lain.

Isa Samad gagal?

Nampaknya pemangku pengerusi Spad yang baru, Tan Sri Isa Samad gagal menjalankan tugas dengan baik dan diragui kemampuannya untuk menerajui dan menyelesaikan masalah-masalah utama berkaitan pengangkutan awam yang tiada kesudahan sehingga hari ini.

Sudah tentu perkara sama akan berulang kerana Isa Samad dilantik bukanlah kerana kepakaran dan pengalaman luas di dalam bidang pengangkutan sebaliknya terdapat sebab-sebab tertentu atau peribadi.

Bagi saya, perkara ini perlu dikaji semula semua masalah yang berlaku terhadap pengangkutan awam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan mengambil contoh negara maju seperti Jepun dalam mengendalikan pengangkutan awam mereka.

Di Jepun, mereka menggunakan teknologi 'bullet train' atau lebih dikenali sebagai 'Shinkansen'. Pengangkutan ini adalah pilihan rakyat Jepun untuk bergerak kerana kelajuannya dan faktor ketepatan masa.

Saya menyarankan agar Najib dan konco-konconya jangan syok sendiri, dan berdiri di bumi nyata serta mengakui bahawa pengangkutan awam masih lemah di Malaysia.


MANIVANAN GOWIN adalah anggota parlimen Kapar.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen