malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Azizah, 2 lagi diarah bayar RM2j pada Felda
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas timbalan presiden Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel Rusnizam Mahat membayar Felda dan Felda Global Ventures (FGV) RM2 juta berhubung laporan yang memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar Suara Keadilan.

Saman itu berhubung dua artikel pada 2010 bertajuk “Felda Bankrap” dan “Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu”.

Hakim Su Geok Yiam berkata jumlah permulaan RM70,000 ditetapkan timbalan pendaftar terlalu rendah.

Hakim Su turut berkata dakwaan artikel berkenaan menjejaskan harga saham FGV.

"Saya setuju dengan  cadangan  peguam  Felda..  mempertimbangkan  kesan penerbitan artikel fitnah yang mendakwa Felda bankrap.

"Ia (saman permulaan RM70,000) tidak akan menyampaikan mesej yang tepat berkenaan fitnah.

“Dengan ini saya mengenepikan keputusan timbalan pendaftar dan meluluskan kerosakan umum RM2 juta," katanya.

Saman fitnah RM2 juta itu merupakan antara yang paling tinggi pernah diberikan.

Hakim turut mengarahkan Wan Azizah dan defendan lain membayar RM25,000 kos kepada plaintif.

Peguam Mohd Hafarizam Harun dan Nuremilia Mohd Iszeham mewakili Felda dan FGV sementara defendan diwakili peguam Francies Pereira.

Francis, ketika ditemui berkata, beliau akan menunggu arahan sama ada akan membuat rayuan.

Felda dan FGV sebelum ini memfailkan saman RM200 juta pada Ogos 2010 terhadap defendan mendakwa artikel berkenaan menjejaskan imej mereka dan defendan menerbitkan artikel berkenaan dengan niat merosakkan kepercayaan penduduk Felda terhadap agensi itu.

Dilaporkan sebelum ini, tiga tahun lalu Felda dan FGV memenengi kes itu di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dipersetujui Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum dirujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi penilaian kerosakan.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen