malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
DAP kumpul tandatangan MP bantah UM beku persatuan pelajar
Diterbitkan:  Dec 4, 2017 12:07 PM
Dikemaskini: 5:42 AM
ADS

Pemuda DAP (Dapsy) akan mengumpul tandatangan anggota parlimen parti itu bagi mendesak Universiti Malaya (UM) menarik balik langkahnya yang didakwa menggantung dua persatuan pelajar universiti itu.

Ketua Dapsy Wong Kah Woh berkata, penggantungan itu ternyata berniat jahat menutup suara mahasiswa dan tidak menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

"Dapsy ingin sekali lagi menyatakan solidariti dengan Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) dan Persatuan Bahasa Cina (PBCUM) serta mempertahankan kebebasan warga UM.

"Kami akan mendapatkan sokongan daripada 36 anggota parlimen DAP untuk mendesak UM menarik balik keputusan yang menekan ini. Memorandum akan diserahkan kepada UM selepas itu," katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, PBCUM mendakwa telah digantung oleh pentadbiran UM sepanjang semester pertama 2017/2018.

PBCUM yang merupakan antara persatuan bahasa Cina paling lama di universiti awam itu turut berkata, pihaknya telah membuat rayuan dan berbincang dengan hal-ehwal pelajar UM tetapi ditolak.

Sebulan sebelum itu, PMIUM mendakwa digantung selama sebulan, bermula 17 November hingga 17 Disember 2017, selepas pentadbiran UM menolak keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka.

UM turut mengarahkan persatuan itu mengadakan semula AGM.

Pengerusi PMIUM Ahmad Syifaa Abd Khaliq ketika dihubungi Malaysiakini berkata, sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan berkenaan siasatan universiti, namun akan membuat permohonan untuk mengadakan semula AGM selepas tamat tempoh penggantungan.

Wong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning turut membidas UM yang sehingga kini masih membisu dan tidak menunjukkan tanda akan membatalkan keputusan mereka.

"Untuk pelajar yang berani, you'll never walk alone.

"Dapsy akan memberikan sokongan penuh kepada anda yang telah ditindas di bawah keputusan UM yang jelas tidak munasabah dan adil," katanya lagi.

Lihat Komen