malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Jamal ancam dedah harta seorang lagi ketua AMK bahagian
Diterbitkan:  Dec 1, 2017 8:33 PM
Dikemaskini: 12:55 PM
ADS

Selepas Datuk Adam Rosly Abdullah dan anak saudara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang lagi pemimpin Pemuda PKR (AMK) bakal diheret kerana didakwa memiliki kekayaan luar biasa.

Amaran itu dinyatakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menggesa ‘ketua AMK cabang’ itu bersiap-sedia kerana laporan mengenainya bakal dibuat kepada SPRM dalam masa terdekat.

"Semalam anak buah Azmin ditahan (dan SPRM rampas) RM4 juta, (Pemimpin AMK cabang ini) banyak lagi.

“Saya dimaklumkan mereka simpan samunan lanun mereka di luar negara. Saya beri amaran kepada ketua AMK berkenaan, siap sedia anda, kami akan kerjakan selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat jualan ikan di Flat Taman Datuk Ahmad Ghazali, Ampang hari ini.

Sementara itu Jamal berkata, ketua AMK bahagian itu turut mempunyai kekayaan di London, Singapura, Australia dan Indonesia.

ADS

Wang diguna untuk PRU

Beliau mendakwa harta berkenaan disimpan di luar negara dan akan disalurkan menerusi perkhidmatan tukaran wang asing (money changer) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.

“Jadi nak PRU mereka dah susun geng-geng mereka melalui money changer nak masukkan kembali duit-duit itu ke dalam negara menghadapi PRU,” katanya.

ADS

Katanya lagi beliau mempunyai bukti untuk mengheret lebih ramai ketua AMK bahagian kemuka pengadilan.

“Kami akan buat laporan, jadi tiga, empat AMK sangat kaya raya hasil daripada kerja korupsi dengan guna kuasa menteri besar,” katanya.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan nama pemimpin AMK terbabit sehingga mendapat reaksi daripada beliau dan PKR.

Sebelum ini nama Adam Rosly menjadi sebutan selepas Jamal menyewa helikopter untuk membawa media melihat kediaman pemimpin muda PKR itu pada 15 November tahun lalu.

Selepas mendedahkan pemuda itu memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah, Jamal turut melaporkan kekayaan Adam kepada SPRM.

Kelmarin SPRM pula dilapor menahan anak saudara Azmin yang berusia 34 tahun dan tiga yang lain atas tuduhan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014.

Suspek didakwa turut merasuah pegawai pihak berkuasa tempatan di Kajang agar tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang itu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen