malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mengapa SPRM belum siasat MB Johor, soal MP
Diterbitkan:  Dec 1, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: 3:46 AM
ADS

Mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menyiasat Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung kes penukaran status hartanah di negeri itu, soal anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Beliau berkata, ia berikutan kebocoran kenyataan dokumen yang dikatakan mengandungi kenyataan saksi SPRM yang turut menyebut nama Khaled dalam kes tersebut.

Beliau berkata, kenyataan saksi tersebut lebih mengejutkan berbanding kes rasuah hartanah itu sendiri, kerana mendakwa Khaled turut menerima RM12 juta bagi menukarkan status hartanah bumiputera kepada bukan bumiputera.

Apatah lagi, katanya, SPRM sendiri melalui Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengakui kebocoran dokumen itu.

"Maka mereka (SPRM) perlu menjelaskan kegagalan untuk menyiasat MB, yang turut dikaitkan menurut kenyataan saksi itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Berita Harian semalam, salah seorang tertuduh dalam kes itu, Amir Shariffuddin Abd Raub membuat laporan polis berhubung kebocoran kenyataan saksi yang diberikannya kepada SPRM.

Dalam laporan itu, Amir mendakwa maklumat dalam dokumen yang tersebar itu berbeza dengan kenyataan yang diberikannya, dan "ada halaman dokumen yang hilang".

Dokumen tersebut berkaitan kes bekas exco kerajaan negeri Datuk Abdul Latif Bandi, yang dihadapkan 33 pertuduhan rasuah hartanah melibatkan RM30.3 juta awal tahun ini.

Awal minggu ini, sebuah blog memuat naik lebih 140 halaman dokumen yang dikatakan kenyataan saksi SPRM.

Pua juga mengecam tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mengarahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai keluar dewan dan merujuknya kepada jawatankuasa hak dan kebebasan DUN, selepas membangkitkan perkara itu pada sidang DUN 27 November lalu.

"DUN Johor telah mengaibkan dirinya sendiri dengan bersepakat dalam usaha menutup isu ini," katanya lagi.

Mohamed Khaled semalam berkata beliau akan menjawab dakwaan itu di DUN pada Isnin ini, semasa penggulungan perbahasan Bajet 2018 negeri.

Lihat Komen