Parti Sosialis Malaysia (PSM) meminta Bukit Aman tidak menahan penduduk yang ingin menemui Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung isu hak tanah mereka pada 12 Disember ini.
Setiausaha PSM Cameron Highlands, Suresh Kumar berkata ini berdasarkan pengalaman sejak tahun 2012 apabila seramai 31 individu ditangkap semasa menunggu pertemuan dengan Adnan di hadapan pejabat MB.
"Hari ini kami menghantar satu memorandum kepada Ketua Polis Negara (IGP) untuk meminta polis bersikap profesional dan tidak proaktif pada 12 Disember di mana kita mempunyai janji temu dengan MB Pahang untuk menyelesaikan isu-isu pemilik tanah di Cameron Highlands," kata Suresh kepada Malaysiakini di luar ibu pejabat polis Bukit Aman.
Pada Julai 2012, sekumpulan penduduk dan aktivis dari cameron HIghlands ditangkap kerana enggan bersurai di luar pejabat MB di Kuantan.
Kumpulan berkenaan yang diketuai Kumar dibebaskan pada hari berikutnya tanpa sebarang pendakwaan.
Kumar berkata pertemuan yang dirancang 12 Disember ini merupakan kali kedua dalam tempoh setahun dan yang terakhir adalah pada 3 Oktober 2017.
Bagaimanapun, beliau berkata Adnan membatalkan pertemuan pada 3 Oktober itu sehari sebelumnya.
"Kami percaya dia juga akan batalkan pertemuan ini. Kumpulan ini telah memutuskan walaupun dia (Adnan) batalkan (pertemuan) pada 12 Disember, kami akan teruskan pada hari berkenaan dan akan duduk di hadapan pejabat MB sehingga kami berjumpa dengannya.
"Jadi kami mahu polis tidak bertindak seperti dilakukan mereka pada 2012 dan benarkan penduduk bercakap dengan kerajaan (negeri) bagi menyesaikan isu-isu ini," tegasnya.
Kumpulan itu juga berjanji kepada polis bahawa himpunan di hadapan pejabat MB itu akan berlangsung dengan aman.
Memorandum mereka hari ini diterima pegawai komunikasi korporat Bukit Aman Norhafizah Mohd Yusah, yang mengatakan akan memaklumkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berhubung perkara itu.