malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan nafi bincang dengan China bina pusat risikan
Diterbitkan:  Nov 29, 2017 5:25 PM
Dikemaskini: 9:34 AM
ADS

Parlimen l Kerajaan menafikan wujudnya perbincangan dengan China untuk menubuhkan pusat risikan dilengkapi radar pengawasan dan peluru berpandu di Johor.

Menerusi jawapan parlimen hari ini, Kementerian Pertahanan berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

"Perkara ini tiada dalam pengetahuan pihak kementerian, malah ia tidak pernah dibincangkan dalam sebarang forum dan kementerian tidak berhasrat untuk membina pusat yang sedemikan,” kata Kementerian Pertahanan.

Kementerian itu menjawab soalan Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) berhubung pendirian kerajaan mengenai tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di Johor.

Pada Ogos lalu, The Straits Times Singapura yang memetik sumber melaporkan China menawarkan 12 unit sistem pelancar roket pelbagai guna (MLRS) AR3 kepada Malaysia.

Laporan itu turut mendakwa cadangan itu disebut secara ringkas dalam perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kaunselor China Wang Yong, selepas majlis pecah tanah projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Ogos lalu.

Keputusan berhubung perkara itu hanya akan dibuat apabila Presiden China Xi Jinping membuat lawatan rasmi ke Malaysia yang dijadual November ini.
 

Lihat Komen