malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
UM keluar arahan rasmi 'tutup mulut' kakitangan, pelajar
ADS

Universiti Malaya (UM) mengeluarkan arahan rasmi melarang semua kakitangan dan pelajarnya membuat sebarang kenyataan terbuka yang dilihat boleh "memburukkan nama" universiti dan kerajaan.

Menurut pekeliling dalaman yang dikeluarkan Pejabat Naib Canselor UM, semua kakitangan dan pelajar dilarang sama sekali berbuat demikian, sama ada secara lisan mahupun bertulis.

"Pernyataan awam termasuklah ulasan kepada pihak akhbar, orang ramai atau semasa syarahan, ucapan awam, penyiaran, penerbitan termasuklah media sosial," kata notis itu yang didedahkan beberapa persatuan pelajar universiti itu.

Kata UM lagi, antara kenyataan yang dilarang adalah yang boleh memudaratkan dasar, rancangan dan keputusan universiti dan kerajaan atas apa-apa isu, memalukan atau memburukkan nama universiti dan kerajaan, memberikan apa-apa maklumat dan fakta mengenai perjalanan fungsi universiti dan sebarang penjelasan tentang peristiwa berkaitan universiti dan kerajaan.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mengecam larangan itu melalui Facebook dan menyifatkannya sebagai mencabuli hak dan kebebasan bersuara yang dijamin Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Umany berpandangan larangan ini untuk menimbulkan ketakutan di kalangan pelajar.

"Kami berpegang teguh kepada hak asasi kami dan bersedia mempertahankannya daripada undang-undang mengarut ini," katanya dalam kenyataan.

pkr congress 200517  anis syafiqah

Bekas pemimpin pelajar UM Anis Syafiqah Md Yusof (gambar) berkata, ini kali pertama pekeliling rasmi dikeluarkan bagi "menutup mulut" pelajar dan kakitangan universiti.

"Semua pelajar menerima notis itu melalui emel," katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa lalu, katanya lagi, sekatan seumpama itu hanya dinyatakan dan dikuatkuasakan melalui Seksyen 16C Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib pelajar-pelajar) 1999.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Hal Ehwal Varsiti Pemuda Sosialis DAP Leong Yu Sheng membangkitkan tindakan Pejabat Naib Canselor yang memetik Peraturan 18 Peraturan-peraturan Tatatertib Badan Berkanun (Akta 605) untuk mengabsahkan larangan itu.

"Akta itu hanya terpakai kepada pegawai badan berkanun persekutuan, dan pelajar tidak tergolong sama sekali dalam kategori itu," katanya.

Setakat ini belum jelas mengapa UM mengeluarkan arahan rasmi itu. Malaysiakini sedang menghubungi UM untuk mengulasnya.

Lihat Komen