malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan janji mangsa banjir terima 'layanan diraja'
Diterbitkan:  Nov 29, 2017 12:10 AM
Dikemaskini: 4:23 PM
ADS

Kerajaan Persekutuan akan memastikan mangsa banjir diberikan bantuan terbaik yang diibaratkan 'layanan diraja' ketika berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, lapor agensi berita tempatan.

Bernama melaporkan Shahidan berkata pihak berkuasa telah membuat persediaan secukupnya dalam menghadapi bencana itu bagi memastikan mangsa banjir yang berlindung di PPS mendapat keistimewaan dan keselesaan berserta kemudahan-kemudahan tertentu.

"Makanan segar juga akan disediakan kepada mangsa-mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan dan pelbagai kemudahan lain turut disediakan agar mereka dapat duduk dengan selesa.

"Dengan kerjasama semua pihak khususnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita harap segala kelengkapan dapat disediakan dengan sempurna kepada mangsa," katanya kepada Bernama selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di Pasir Mas, Kelantan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan Zainuddin Hussin turut serta dalam lawatan itu, lapor Bernama.

PPS tersebut menempatkan seramai 185 mangsa daripada 78 keluarga.

Shahidan meminta supaya penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar segera berpindah jika paras air mula meningkat bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Katanya beliau mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mangsa banjir.

Tengahari tadi Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengingati rakyat negeri itu betapa musibah banjir yang sedang dialami mereka adalah ujian Allah bagi menguji keimanan dan kesabaran.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ser Ahmad Razif Abd Rahman pula meminta agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengkaji kembali punca banjir yang berlaku di enam daerah di negeri ini.

Manakala itu, Bernama melaporkan banjir kian memburuk di pantai timur Semenanjung dengan menyaksikan jumlah mangsa di negeri Kelantan dan Terengganu yang dipindahkan ke PPS terus meningkat.

Setakat jam 9 malam ini, mangsa banjir Kelantan meningkat kepada 5,,016 orang, sementara mangsa banjir di Terengganu setakat petang tadi pula berjumlah 4,781 orang ditempatkan di 41 PPS manakala di Kelantan mangsa banjir meningkat kepada 5,,016 orang.

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu apabila lemas akibat tergelincir di tali air di Marang.

Lihat Komen