malaysiakini logo
story-image
ADS

Perbelanjaan berhemat menjadi kunci kejayaan kepada prestasi kewangan kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan baik, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata peningkatan sebanyak 1.4 peratus daripada Kumpulan Wang Disatukan pada 2016 yang meningkat sebanyak RM36.80 juta kepada RM2.66 bilion berbanding RM2.63 bilion pada 2015, bukti daripada perincian dan perancangan kewangan berhemat yang dilaksanakan kerajaan negeri selama ini.

“Kita (kerajaan negeri) telah mengambil pendekatan untuk menguruskan wang negeri dengan berhati-hati. Kita mempunyai lebihan kerana kita sentiasa memastikan berbelanja mengikut kemampuan.

“Kita tidak mahu buat perkara yang kita rasakan akhirnya tidak boleh dilaksanakan. Atas sebab itu, kita amat teliti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara beberapa institusi penyelidikan bioteknologi di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2016 berhubung prestasi kewangan cemerlang Kerajaan Negeri Johor yang berakhir 31 Disember 2016.

Lebihan RM119.7 juta prestasi kewangan

Dalam laporan itu, kerajaan negeri mencatatkan lebihan dalam prestasi kewangan negeri berjumlah RM119.07 juta menjadikan akaun hasil disatukan pada 31 Disember 2016 berbaki sejumlah RM1.12 billion.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri terutamanya dalam sektor Bioperubatan, Bioindustri dan Biopertanian.

“Tiga sektor bio ini menjadi fokus utama kerajaan negeri yang dilaksanakan melalui syarikat Biodiversiti Johor (J-Biotech). Kerajaan pusat juga telah memaklumkan antara sektor yang kita perlu bangunkan dalam negara adalah Bioekonomi.

“Kerajaan negeri tidak mahu ketinggalan dan kita telah meningkatkan peranan kita dalam perkara ini,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen