malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Saya lebih 'gentleman' dari pimpinan PAS - Mahfuz
ADS

Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menganggap dirinya juga seorang gentleman kerana berani mempunyai pendirian berbeza daripada pimpinan PAS.

Kenyataan itu dibuat selepas Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan keputusan ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) lebih gentleman berbanding Mahfuz.

“Memang saya akui Datuk Amiruddin seorang yang gentleman mengambil keputusan meninggalkan PAS menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan memilih BERSATU sebagai pilihan. Ia pilihan tepat.

“Adapun pandangan saya tidak gentleman itu persepsi yang dilihat oleh Nik Amar yang tak anggap saya gentleman.

“Harus dilihat saya juga mempunyai pendirian sangat gentleman daripada dalam parti saya (PAS). Saya berbeza dari pendirian pimpinan-pimpinan parti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ahad lalu Amiruddin yang juga ketua pembangkang DUN Kedah dilaporkan keluar daripada PAS dengan menyertai BERSATU.

Bagaimanapun keputusan itu tidak mengejutkan kerana Amiruddin sebelum ini memang dilihat senderung kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tindakannya itu bagaimanapun mengundang kenyataan daripada Mohd Amar yang menyifatkan Amiruddin lebih gentleman berbanding Mahfuz.

'Baiah untuk takutkan ahli'

Selain itu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengingatkan Amiruddin mengenai baiah yang pernah dilafazkan sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai baiah itu, Mahfuz berkata PAS sengaja menggunakan isu itu untuk menutup kelemahan parti serta hanya ingin menakut-nakutkan anggotanya.

“Saya minta timbalan presiden dan pimpinan parti yang lain jangan jadikan isu baiah tutup kelemahan kepimpinan dalam memposisi PAS dalam persada politik negara.

“Jangan jadikan isu baiah ini kerana nak tutup segala kelemahan dan kegagalan mereka membaiki imej yang dipandang serong oleh rakyat kerana keputusan mereka yang tidak mesra rakyat.

“Sepatutnya penghijrahan Amiruddin dan ahli-ahli lain, sepatutnya pimpinan PAS menyuluh diri kenapa jadi macam tu, bukan takutkan orang mengenai isu ini. Mereka menjadikan baiah untuk menakutkan ahli,” katanya.

 

Lihat Komen