malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ada gelandangan di negeri sifar kemiskinan'
Diterbitkan:  Nov 28, 2017 12:00 PM
Dikemaskini: 4:02 AM
ADS

PAS Johor menyangkal kenyataan bahawa kerajaan negeri Johor telah berjaya mengekalkan kadar kemiskinan kosong peratus sejak 2014 berbanding 0.9 peratus pada 2012.

Parti itu juga mendakwa kemungkinan pengiraan itu berdasarkan data-data di atas kertas, sedangkan realiti sebenar sebaliknya, lapor Harakahdaily.
 

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin justeru itu menuntut Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut padang melihat sendiri kehidupan rakyat.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu juga berkata masih ramai tidak mampu memiliki rumah sendiri, begitu juga yang menjadi gelandangan.

“Kita seringkali memberi bantuan kepada golongan asnaf ini termasuk golongan gelandangan tersebut dan ini menunjukkan masih terdapat ramai golongan rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan.

“Hari ini telah muncul beberapa NGO tampil untuk membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan gelandangan yang jumlahnya agak begitu ramai di negeri ini.

“Kesan dari tekanan hidup yang begitu menghimpit rakyat ini menyebabkan kadar kemiskinan rakyat menjadi bertambah tinggi, bukan semakin berkurangan. Sebab itu kita menyifatkan kenyataan menteri besar ini sebagai tidak tepat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Harakahdaily melaporkan Khaled membuat kenyataan berkaitan kadar kemiskinan negeri itu ketika membentangkan belanjawan 2018 di Johor Bahru, pada 23 November lalu.

Bantuan masih berjalan

Sementara itu, akhbar sama turut melaporkan Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim mempersoalkan kriteria yang diguna pakai bagi mengira kadar kemiskinan negeri.

Katanya, angka itu menggambarkan tiada lagi orang miskin di Johor, sedangkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, termasuk wakil rakyat dan NGO masih berjalan seperti biasa.

“Ini dapat dibuktikan di kawasan yang saya wakili sejak 2008 di mana masih terdapat begitu ramai golongan rakyat yang susah hinggakan sekiranya mereka ini diberi sekampit beras (10kg) untuk sebulan pun mereka sudah cukup bersyukur,” katanya.

Dr Mohamad juga berkata, pemberian BR1M kepada adalah bukti jelas bahawa kadar kemiskinan masih terlalu tinggi.

Lihat Komen