malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
50 petugas kendali hospital medan di Bangladesh
ADS

GLOBAL I Seramai 50 kakitangan Kementerian Kesihatan akan bertugas mengendalikan Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh yang dijangka beroperasi pada 1 Disember ini untuk membantu pelarian Rohingya mendapatkan rawatan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara yang terlibat adalah pakar perubatan, pakar perubatan kesihatan awam, pegawai perubatan, jururawat, pegawai farmasi, juruteknologi makmal serta penolong pegawai kesihatan persekitaran, yang akan bertugas mengikut giliran.

"Petugas-petugas ini merupakan duta negara di Bangladesh dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya sangat menghargai dan berbangga dengan penglibatan mereka secara sukarela ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai persediaan memulakan operasi Hospital Medan Malaysia, seramai 34 pegawai KKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Bangladesh hari ini, kata Dr Noor Hisham.

"Seramai 28 pegawai telah berlepas ke Cox’s Bazar pada 20 hingga 22 November lepas bagi mendirikan Hospital Medan Malaysia. Pasukan ini terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM dan MyCorps," katanya.

ADS

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kerajaan Malaysia sangat prihatin terhadap penderitaan dialami pelarian Rohingya di kem-kem pelarian itu dengan membina hospital berkenaan untuk kes-kes rujukan akut yang boleh menempatkan antara 30 hingga 50 katil untuk pesakit.

Beliau berkata operasi hospital itu akan diketuai seorang pakar daripada KKM dan dibantu anggota perubatan dan kesihatan serta sukarelawan pelbagai agensi seperti IMAM Response & Relief Team (IMARET), Federation of Islamic Medical Association (FIMA), MERCY Malaysia, Malaysia Relief Agency (MRA), MyCorps dan Humanity Heroes.

Katanya misi bantuan itu turut mendapat kerjasama melalui pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh MAS Kargo dan Syarikat Pharmaniaga dalam penghantaran peralatan perubatan, peralatan bukan perubatan, ubat-ubatan dan lain-lain ke­perluan ke Cox’s Bazar.

"Kolaborasi serta hubungan kerjasama yang rapat antara Kementerian Kesihatan dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah membantu melicinkan urusan bagi menubuhkan Hospital Medan Malaysia agar dapat beroperasi di Cox’s Bazar Bangladesh pada penghujung November ini," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan hospital itu boleh menempatkan sehingga 150 pesakit pada satu-satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, x-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak.

Hospital medan yang setaraf hospital daerah berpakar bernilai RM3.5 juta dengan keluasan 100 x 70 meter itu terletak di wilayah Ukhiya, kira-kira 10 minit perjalanan dari kem-kem utama iaitu Kem Pelarian Kutupalong dan Bhalukali. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen