malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi: Tuduhan lanun cermin pemikiran Orientalis Barat
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 11:28 AM
Dikemaskini: 3:34 AM
ADS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan orang ramai supaya tidak terikut-ikut menggunakan istilah yang dipopularkan oleh Orientalis Barat terhadap orang Islam yang menentang penjajah.

Katanya, penulisan Orientalis Barat itu cuba menutup kejahatan mereka yang melakukan konsep kolonialisma dan imperialisma serta perluasan penjajahan Barat yang menakluk secara paksaan, perhambaan dan merompak hasil negara yang dijajah.

“Kedatangan penjajah Barat ditentang oleh semua penduduk dunia. Mereka melabelkan pula perjuangan menentang penjajahan yang zalim itu dengan jenama pemberontak, lanun, penderhaka dan sebutan yang jelik.

“Malangnya, masih terdapat kalangan yang berjenama penganut Islam tetapi terikut-ikut menggunakan istilah lanun yang dipopularkan oleh para Orientalis terhadap bangsa Islam yang menentang penjajah,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian dalam satu kenyataan media yang disiarkan di Harakahdaily sambil menambah terdapat bekas pemimpin yang pernah menuduh PAS lebih bahaya daripada komunis.

“Hanya Melayu yang mudah lupa sahaja yang melupai kenyataan ini,” katanya.

Walaupun tidak menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad, kenyataan Abdul Hadi itu jelas merujuk kepada bekas perdana menteri itu.

Mahathir yang kini adalah pengerusi BERSATU, 14 Oktober lalu, didakwa menghina keturunan Bugis berhubung ucapannya pada perhimpunan anti kleptorasi Pakatan Harapan di Petaling Jaya.

Kontroversi timbul apabila Mahathir dilaporkan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis, termasuk presiden Umno itu.

Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga dilaporkan murka manakala Dewan di-Raja Selangor mahu satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan diambil ke atas Mahathir.

Walau bagaimanapun, Mahathir berulang kali menafikan dakwaan itu, dan menegaskan bahawa beliau hanya merujuk kepada Najib dan bukannya orang lain.

Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" itu diadakan bagi memberi penerangan mengenai skandal kewangan 1MDB dan kesannya kepada rakyat Malaysia.

1MDB yang adalah cetusan ilham Najib. Ia kini menjadi siasatan di beberapa negara termasuk Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mendakwa sebanyak AS$4.5 bilion diselewengkan dan sebahagian dana itu telah disalurkan menerusi sistem kewangan negara itu.

DOJ telah memfailkan beberapa saman sivil sejak tahun lalu untuk merampas dakwaan hasil penyelewengan dan juga mendedahkan pada pemfailan mahkamah bahawa siasatan jenayah sedang dijalankan.

Saman pelucuthakan sivil DOJ mengaitkan "Malaysian Official1" (MO1) dalam skandal 1MDB dan memaklumkan bahawa sebahagian dana firma pelaburan negara Malaysia itu telah dialihkan melalui akaun banknya dan digunakan untuk membeli berlian kepada isterinya.

MO1 didakwa merujuk kepada Najib, tetapi perdana menteri itu berulang-kali menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Lihat Komen