malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bakal presiden terima kasih pada rakyat, tentera
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 11:26 AM
Dikemaskini: 3:38 AM
ADS

GLOBAL l Bakal Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa pada hari Rabu mengucapkan terima kasih, kepada rakyat Zimbabwe dan tentera di atas sokongan yang diberikan, lapor agensi berita Xinhua.

Berucap di hadapan penyokongnya sejurus kembali ke Zimbabwe, Mnangagwa berkata, beliau amat terharu menerima sokongan padu selepas dipecat oleh bekas presiden Robert Mugabe.

Lantaran itu, beliau berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat serta menyeru semua rakyat bersatu dan mengembangkan ekonomi negara bagi mencipta peluang pekerjaan.

"Kita mahu negara yang aman dan peluang pekerjaan untuk rakyat," katanya.

Beliau kembali semula ke Zimbabwe selepas terpaksa hidup dalam buangan akibat dipecat oleh Mugabe atas tuduhan menipu dan tidak setia.

Mnangagwa yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu pada Jumaat berkata, beliau sudah mula menerima ikrar sokongan daripada beberapa negara asing .

Beliau turut memuji angkatan tentera kerana peralihan kuasa dapat dilaksanakan secara aman.

Mnangagwa turut berkongsi pengalamannya terselamat daripada percubaan membunuhnya oleh pentadbiran Mugabe, termasuk pernah diracun semasa perhimpunan parti ZANU-PF pada Ogos.

- Bernama

Lihat Komen